Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Artikel fitnah, Raja Petra diperintah bayar ganti rugi
Diterbitkan:  Feb 10, 2011 10:59 AM
Dikemaskini: 4:54 AM

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa tiga artikel yang disiarkan oleh penulis blog, Raja Petra Raja Kamarudin terhadap peguam, Datuk Seri  Muhammad Shafee Abdullah berunsur fitnah.

Sehubungan itu, hakim Datuk John Louis O'Hara memerintahkan supaya ganti rugi yang patut dibayar oleh defenden ditaksirkan.

azlan Beliau berkata jumlah bayaran ganti rugi akan dinilai Timbalan Pendaftar kelak dan membenarkan kos guaman RM5,000 kepada peguam S Ravindran, yang mewakili Muhammad Shafee.

O'Hara berkata sama ada Ravindran akan berjaya mendapatkan jumlah berkenaan bukanlah urusannya memandangkan Raja Petra telah diisytiharkan muflis.

Terdahulu, peguam Raja Petra, J Chandra membantah cadangan Ravindran supaya kos ditetapkan pada RM10,000, berasaskan kepada kedudukan anak guamnya kini seorang yang bankrap dan tidak berada dalam negara, maka pihak-pihak perlu menanggung kos mereka sendiri seperti diperintahkan Mahkamah Rayuan berhubung hal-hal berkaitan saman itu.

raja petra shafee abdullah sedition case 150808 04 Muhammad Shafee membuat permohonan itu mengikut Perintah 14A Peraturan Mahkamah Tinggi 1980 untuk melupuskan saman tersebut berdasarkan perkara undang-undang yang mendakwa bahawa perkataan dalam artikel dan komen yang disiarkan dalam laman web Malaysia-Today adalah memfitnah.

Pada Ogos 2008, Muhammad Shafee memfailkan saman itu terhadap Raja Petra, 58, kerana menyiarkan tiga artikel pada 6, 7 dan 11, Ogos 2008, bertajuk "Shafee Abdullah: Extraordinaire Sodomologis", "Wang, Kuasa dan Seks: Apa Yang Memberi Motivasi Kepada Lelaki" dan "Dalang Sebenar Di Sebalik Tuduhan Liwat Anwar" dalam laman web yang beliau katakan memfitnahnya.

Pada 13 Ogos, 2008, beliau memperoleh satu injunksi ex-parte daripada Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Raja Petra mengeluarkan artikel itu serta komen mengenai artikel tersebut dari laman web.

Dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 15 November, 2008, Raja Petra menafikan bahawa ketiga-tiga artikel itu adalah palsu, berniat jahat atau memfitnah peguam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS