Ahli parlimen DAP Petaling Jaya Utara, Tony Pua telah membuat perbandingan yang tidak masuk akal apabila beliau mendakwa Kementerian Pertahanan akan membayar hingga 8.7 kali ganda bagi kapal perang yang hendak dibelinya, kata seorang penganalisis pertahanan.
Menurut Dzirhan Mahadzir, penulis majalah pertahanan terkemuka - Jane's Defence Weekly - ini kerana spesifikasi kapal yang disebutkan oleh Pua adalah berbeza.
"Beberapa kapal perang yang dibandingkannya adalah kurang di segi muatan dan saiz daripada (kapal yang dicadangkan dibeli)... jadi ianya umpama membandingkan harga Mini Cooper dengan kenderaan pacuan empat roda," katanya dalam sebuah ulasan panjang di halaman Facebooknya.
Ianya juga sangat sukar untuk membuat perbandingan dengan membahagi harga dengan muatan, kerana kapal yang berukuran sama pun, boleh datang dalam spesifikasi yang sangat berbeza, katanya (lihat carta di bawah).
"Bahkan jika (kapal) sama saiznya, jenis peralatan mereka, seperti senjata, elektronik, enjin... dan rekabentuk mereka, serta bahan binaan... akan memberi perbezaan besar pada harganya. "
Dzirhan, yang juga menerbitkan jurnal akademik dan pernah mengajar di Kolej Tentera Diraja, berkata masa kapal ditempah juga memainkan peranan penting dalam menentukan harganya.
Sebagai contoh, katanya, kontrak bagi Israel Saar V ( atas, kanan ) - kapal peronda luar pantai (OPV) - yang disebutkan oleh Pua dalam kenyataan semalam, dibuat pada awal tahun 1980-an.
Namun demikian, kapal tersebut, yang berharga AS$260 juta (RM791 juta), adalah kira-kira RM200 juta lebih murah daripada RM1bilion yang dibajetkan oleh Kementerian Pertahanan untuk setiap OPV, dan mempunyai spesifikasi yang serupa.
Kedua-duanya mempunyai peluru berpandu anti-udara dan anti-kapal, senjata anti-kapal selam dan tempat mendarat dan hangar helikopter.
"Akhirnya, kontrak untuk sesebuah kapal itu, bukan hanya untuk kapal sahaja tetapi juga untuk penyelenggaraan, sokongan, latihan dan penghantaran," katanya, sambil menambah bahawa perundingan boleh menurunkan kos bagi aspek-aspek berkenaan.
Menurut Dzirhan, perbandingan Pua tentang OPV yang dicadang dibeli oleh Tentera Laut Diraja Malaysia, dengan AS Littoral Combat Ship (LCS) juga salah kerana fungsi LCS adalah berbeza sama sekali dengan fungsi OPV.
Sementara kapal tersebut dianggarkan akan dibina pada harga AS$300 juta (RM913 juta), kos sepenuhnya adalah AS$637 juta (RM1.93 bilion) dan AS$704 juta (RM2.14 bilion) untuk setiap satu daripada dua rekabentuk berlainan yang dibeli, tambahnya.
[Baca berita penuh]