Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
TPM mahu Guan Eng adil pada rakyat Pulau Pinang
Diterbitkan:  Feb 6, 2011 5:22 PM
Dikemaskini: Feb 7, 2011 4:29 AM

Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya berlaku adil kepada rakyat negeri ini, tanpa mengira kaum, dengan memberi peluang kepada mereka menjalankan perniagaan, demi pembangunan ekonomi penduduk negeri ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata ini kerana rakyat semua kaum di negeri ini berhak mendapat peluang untuk menjalankan perniagaan di negeri ini.

penang bn cny open house 060211 01 "Layanlah rakyat Pulau Pinang, Melayu atau Cina atau India. (Jika) Melayu berniaga, dia susah, bagilah dia peluang berniaga termasuk sesiapa juga yang mahu mencari nafkah sendiri dan mencari makan," katanya ketika berucap pada majlis rumah terbuka Tahun Baru Cina BN Pulau Pinang, di George Town, hari ini.

Katanya kerajaan negeri sepatutnya memberi peluang dan galakan kepada peniaga untuk mencari nafkah dan bukannya menghalang mereka.

"Saya tahu Pulau Pinang di bawah pakatan pembangkang, tapi tidak apa. Yang penting pakatan pembangkang ada komitmen untuk membantu (rakyat) sama seperti BN yang ada komitmen untuk bangunkan rakyat tanpa sebarang perbezaan," katanya.

Muhyiddin berkata sikap adil itu akan membuatkan rakyat berasa lebih selesa dan berpuas hati dan ia akan membantu usaha untuk memajukan negara.

Beliau juga menafikan dakwaan Lim bahawa Pulau Pinang tidak mendapat faedah daripada program pembangunan yang dirancang oleh kerajaan pusat.

"Pulau Pinang dapat faedah dari dulu lagi. Kerajaan pusat buat untuk semua negeri dan tidak terkecuali juga negeri Pulau Pinang.

"BN membangunkan Pulau Pinang bukan kerana Lim jadi Ketua Menteri tetapi untuk rakyat negeri ini," katanya.

Muhyiddin berkata kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat penting untuk pembangunan ekonomi negeri.

"Saya tahu Ketua Menteri juga tahu tenteng perkara ini (kerjasama)," katanya.

Muhyiddin berkata rakyat Pulau Pinang tidak mahu mendengar janji kosong kerajaan negeri sebaliknya mahu melihat kesan daripada apa yang dilaksanakan.

Turut hadir pada majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang itu ialah Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon serta pemimpin BN negeri.

Lim dan beberapa exco kerajaan negeri juga hadir pada majlis itu.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS