Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rakyat M'sia dipindah dalam 4 setengah hari
Diterbitkan:  Feb 2, 2011 7:19 PM
Dikemaskini: Feb 4, 2011 3:09 AM

Semua penuntut Malaysia di Mesir, yang kini berdepan masalah berikutan protes ganas yang mendesak Presiden Hosni Mubarak berundur, dijangka dipindahkan dari negara itu dalam tempoh empat hari setengah.

    

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata kerajaan serius dalam usaha untuk membawa keluar warganegaranya dari Mesir dan telah mengaturkan untuk menerbangkan mereka dari Kaherah ke Jeddah, Arab Saudi.

    

Selain tiga pesawat C-130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke Mesir hari ini, katanya pesawat khas AirAsia Airbus A320 dengan kapasiti 249 penumpang juga dijadual berlepas ke Kaherah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada kira-kira 2 petang hari ini.

    

Antara yang turut serta dalam penerbangan AirAsia itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Ismee Ismail dan Ketua Putera Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang dalam misi membantu membawa pulang pelajar Malaysia dari negara yang sedang bergolak itu.

    

"Pesawat itu juga akan membawa barangan makanan untuk pelajar Malaysia di Mesir," katanya kepada pemberita di sini.

Anifah berkata sebuah pesawat Malaysia Airlines, Boeing 747, yang boleh membawa 285 penumpang, akan berlepas ke Kaherah pada 9 pagi esok.

    

"Kami menjangkakan untuk menerbangkan sekurang-kurangnya 3,000 rakyat Malaysia dari Kaherah ke Jeddah setiap hari dan berharap semua penuntut Malaysia di sana dapat dipindahkan dalam masa empat hari setengah," katanya.

    

Beliau berkata kerajaan sedang menguruskan visa sementara dengan kerajaan Arab Saudi bagi membolehkan penuntut berkenaan dipindahkan ke Jeddah.

    

Katanya terdapat lebih 11,000 penuntut Malaysia di Mesir.

    

Anifah berkata kerajaan Malaysia dan Indonesia turut bekerjasama rapat dalam proses pemindahan itu.

    

"Sebagai contoh, pesawat MAS atau AirAsia boleh membawa rakyat  Indonesia yang terkandas di lapangan terbang jika ada tempat duduk kosong," katanya.

    

Anifah juga menasihatkan ibu bapa yang anak mereka berada di Mesir supaya bersabar kerana keadaan adalah terkawal dan memberi jaminan yang kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk melindungi mereka.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS