Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Perpecahan lemahkan bangsa Melayu, kata Dr M
Diterbitkan:  Feb 1, 2011 9:54 PM
Dikemaskini: 4:56 PM

Masa depan bangsa Melayu akan terus lemah dan malap sekiranya kaum Melayu terus berpecah hanya semata-mata fahaman politik yang berbeza, kata mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bangsa Melayu kini dilihat berada dalam kedudukan yang lemah kerana sudah berpecah kepada tiga kumpulan politik iaitu Umno, PAS dan PKR menyebabkan agenda untuk memajukan masa depan mereka sukar dilaksanakan, walaupun kerajaan kini di bawah kepimpinan orang Melayu.  

"Kita lihat sekarang Melayu lemah kerana sudah berpecah kepada tiga dan kerajaan yang dipimpin orang Melayu juga menjadi lemah dan tidak dapat bertegas dalam menyusun langkah dalam majukan masa depan kita.

    

"Ini keadaan sekarang dan tidak dapat tidak ia akan mempengaruhi masa depan kita," katanya ketika berucap di wacana bersama Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai 'Bangsa Melayu dan Masa Depannya' di Memorial Tun Hussein Onn di ibunegara hari ini.

    

Wacana itu, anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan, turut dihadiri Yang Dipertua Mubarak Wilayah Persekutuan Abdul Aziz Yassin, Setiausaha Mubarak Wilayah Persekutuan Datuk Abdul Rahman Sulaiman dan Duta Besar Malaysia ke Filipina Datuk Seri Dr Ibrahim Saad, yang bertindak sebagai moderator wacana.

Dr Mahathir berkata kali pertama perpaduan Melayu di negara ini teruji ialah apabila berlakunya perpecahan yang menyaksikan wujudnya PAS, sebagai parti serpihan Umno.

    

"Tetapi kita masih mampu menguasai keadaan politik di dalam negara, tetapi sepertimana yang kita tahu, kemudiannya ramai daripada orang yang kecewa (daripada Umno) telah menubuhkan parti dan kita lihat serpihan-serpihan lain berlaku seperti Semangat 46 dan PKR," katanya.

    

"Masa kita miskin, lemah, tidak ada kedudukan, kita tahu hanya perpaduan yang akan memberi kita kekuatan. Tetapi hari ini, bila kita kaya sikit, ada yang perpendapat perpaduan tidak perlu lagi, kita lawan sesama kita," katanya.

    

Katanya ada juga orang Melayu yang sudah terlalu yakin mempunyai keupayaan untuk berdiri sendiri sehingga menolak sebarang usaha kerajaan termasuk menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diwujudkan untuk membantu mereka.

    

"Kita begitu sekali menganggap diri kita berkeupayaan, ada yang kata apa perlu 'identify' diri kita dengan Melayu, kita orang Malaysia, boleh tolak usaha untuk bantu kita. Kita hendak buang 'tongkat', hendak jalan atas kaki sendiri, tetapi kita tidak sedar kaki masih tempang," katanya.

    

Apa yang lebih menyedihkan, kata Dr Mahathir, ada orang Melayu yang terlalu asyik meminta sokongan kaum lain sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja kepada kaum lain tanpa memikirkan implikasinya kemudian hari.

    

"Kalau bergantung kepada orang lain, lama-lama kita akan duduk di bawah perintah mereka, secara tidak langsung kita akan menjadi bangsa yang lemah kerana berpecah-belah.

    

"Walaupun dipilih untuk memerintah negara kita ini, sebenarnya kita tidak berkuasa kerana orang yang membantu kita akan desak supaya kita menghormati pendapat mereka, ini yang akan berlaku," kata Dr Mahathir yang berpendapat maju mundurnya bangsa Melayu terletak kepada diri orang Melayu itu sendiri.

 

Dalam pada itu Dr Mahathir yakin Malaysia akan selamat daripada kekuasaan asing sekiranya semua rakyatnya benar-benar memahami dan menerima konsep 1Malaysia atau 1bangsa yang diuar-uarkan kerajaan selama ini.

    

Untuk itu, katanya, kaum-kaum lain di Malaysia harus melupakan kaitan mereka dengan negara asing, sebaliknya menerapkan keyakinan bahawa mereka merupakan rakyat negara ini.

    

"Bila kita kata kita adalah orang yang ada kaitan dengan sebuah negara asing, maka itu adalah pengakuan kita adalah kaum pendatang. Jadi kita harus

lupa negara mana kita datang. Jika ada yang masih anggap mereka datang dari negara lain, maka tidak akan dapat wujud satu bangsa Malaysia.

    

"Tetapi sehingga sekarang, tidak ada kesanggupan untuk mengakui mereka bangsa Malaysia...kita bukan mahu semua mengakui diri mereka sebagai Melayu tetapi sekurang-kurangnya sebagai warga Malaysia," katanya.

    

Menyentuh mengenai isu ketuanan Melayu, Dr Mahathir secara sinis berkata orang Melayu tidak perlu untuk terus mendakwa diri mereka sebagai 'Tuan' jika mereka sebenarnya hanya merupakan 'kuli' kepada orang lain.

    

Menurutnya kata-kata 'Takkan Melayu Hilang Di Dunia' perlu dinilai semula agar dapat ditentukan apakah generasi Melayu yang sebenarnya yang mahu dikekalkan.

    

"Kita harus tanya Melayu bagaimana yang kita tidak mahu hilang dari dunia ini...yang kita mahu ialah Melayu yang tidak hilang ialah Melayu yang gagah, kaya, ada ilmu, cekap dalam perniagaan, pengurusan dan sebagainya," katanya.

    

Sementara itu, menjawab kepada satu soalan mengenai bagaimana untuk menyatu-padukan orang Melayu yang sudah berpecah tiga, Dr Mahathir berkata:"Cara mudah, ketuk kepala (Datuk) Nik (Abdul) Aziz (Nik Mat)(Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan) dan (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) (Penasihat PKR) kerana penyakit itu semua datang daripada mereka".

    

Beliau juga menyifatkan usaha menyatu-padukan orang-orang Melayu itu menemui jalan buntu kerana tidak adanya keinginan daripada kedua-dua pemimpin berkenaan untuk ke arah itu.

    

"Niat mereka hanya untuk mendapat tempat. Anwar dengan dasarnya untuk sampai ke Putrajaya dan Nik Aziz adalah seorang opportunist. Tidak ada niat mereka ini untuk berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara, itu yang susah hendak berbaik dengan mereka," katanya.

    

Dr Mahathir berkata dalam keadaan kepercayaan kepada Umno juga goyah, orang Melayu kini diletakkan dalam keadaan serba-salah untuk memilih parti yang boleh dipercayai, justeru menyifatkan kaum Melayu kini dalam "Malay Dilemma 2'.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS