Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun keputusan Tenang tidak menyebelahi mereka, pilihan raya kecil itu menjadi "kunci semangat juang" untuk melakukan perubahan
menyeluruh terhadap sistem demokrasi yang berat sebelah.
Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata, pihaknya akan merangka strategi berkesan bagi meningkatkan keupayaan gerak sambil mendesak ke arah pilihan raya yang bebas dan telus.
"Untuk kesekian kalinya kita berhadapan dengan Umno-BN yang menggerakkan jentera kerajaan dengan bajet yang tidak terbatas, media berat sebelah yang masuk di tiap-tiap buah rumah, dan peraturan pilihan raya yang tidak berasaskan suasana pertandingan di lapangan yang sama rata.
"Oleh yang demikian, usaha menggerakkan massa menerusi saluran parti politik dan NGO akan terus dilaksanakan agar demokrasi yang tulen dapat ditegakkan," katanya.
Semalam, dalam pilihan raya kecil Tenang, calon PAS Normala Sudirman tewas kepada calon BN Mohd Azahar Ibrahim dengan majoriti 3,707 undi. Normala memperolehi 2,992 undi manakala Azahar memperolehi 6,699 undi.
Dalam satu kenyataan hari ini, Abdul Hadi menegaskan bahawa demokrasi tulen tidak kepada perubahan cetakan kertas dan kotak undi semata-mata.
Sebaliknya, tambah anggota parlimen Marang itu, ia antaranya bertitik tolak dari peraturan pilihan raya yang adil, media yang bebas, persekitaran kempen tanpa sogokan dan ugutan serta projek pembangunan melimpah ruah semasa tempoh berkempen.