Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rosmah cerdik, pandai', bantu hubungan dua hala
Diterbitkan:  Jan 29, 2011 5:58 PM
Dikemaskini: 10:07 AM

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata lawatan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor ke luar negara turut  berperanan membantu mempromosikan Malaysia dan mengukuhkan hubungan dua hala.

NONE Beliau berkata Rosmah bijak menggunakan kedudukannya sebagai isteri kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia dengan negara yang dilawatinya.

Katanya kewibawaan Rosmah diiktiraf oleh negara dan kerajaan luar apabila sering mendapat jemputan untuk menjadi tetamu rasmi dan menyampaikan ucaptama pada persidangan terutama yang berkaitan pendidikan kanak-kanak dan wanita serta pembangunan sosial.

"Datin Seri Rosmah memang cerdik dan pandai. Di sebalik Perdana Menteri, ada isteri yang menolong (beliau)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pengagihan Ternakan Program Pembasmian Kemiskinan di Kimanis, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pakatan Rakyat semasa kempen pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Tenang di Johor bahawa isteri Perdana Menteri itu menghabiskan duit rakyat dan mengambil kesempatan terhadap kedudukan suaminya untuk melancong di luar negara.

NONE Anifah berkata Kementerian Luar berbesar hati sekiranya isteri Perdana Menteri itu dipelawa untuk menjadi tetamu kerajaan negara luar di masa akan datang kerana percaya Rosmah akan menggunakan kesempatan itu sebaik mungkin untuk membantu rakyat Malaysia, terutama berkaitan pendidikan kanak-kanak dan pembangunan sosial.

Usaha gigih

Beliau memuji usaha gigih dan inisiatif Rosmah semasa di luar negara dalam membantu kerajaan mencari idea dan penyelesaian dalam memperbaiki kehidupan rakyat, sekaligus mempromosikan nama Malaysia kepada masyarakat luar.

Sementara itu, mengenai rakyat Malaysia di Mesir berikutan insiden rusuhan dan tunjuk perasaan di negara itu, Anifah berkata kementerian sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah untuk mendapatkan maklumat lanjut keadaan rakyat Malaysia di sana.

Beliau juga berkata tidak ada rakyat Malaysia yang menyertai demonstrasi jalanan di negara itu bagi membantah pemerintahan 30 tahun Presiden Hosni Mubarak.

Demonstrasi jalanan di beberapa bandar besar seperti Dumyat, Suez, Tanta, Iskandariah dan Mansura dianggap terbesar dalam sejarah Mesir sejak Intifadah Al-Khubz atau Pemberontakan Roti pada 1977.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS