Meskipun pelbagai pihak meramalkan BN akan mempertahankan kerusi dewan undangan negeri Tenang, pada pilihan raya kecil esok, namun Umno terus memperkuatkan cengkamannya dengan berkempen di kubunya di Felda.
Namun isu yang dibangkitkan jauh berbeza dengan modal yang dijaja oleh rakannya MCA. Jika MCA cuba menakut-nakutkan masyarakat Cina mengenai hasrat PAS menubuhkan negara Islam jika Pakatan Rakyat berkuasa, pemompin Umno pula sibuk mendakwa PAS telah hilang nilai-nilai keislamannya.
Sebelum ceramah kelompok BN di Felda Tenang malam semalam itu dimulakan, kira-kira 80 penduduk tempatan dijamu mewah dengan kenduri sambil dihiburkan dengan lagu dendangan Allahyarham Sudirman.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam kemudiannya terus ke pentas dan mula membidas PAS.
"Bila PAS sertai DAP, mereka hilang nilai-nilai Islam.
"Di Bukit Beruntung, mereka tidak lagi melaungkan takbir selepas cermah,” perlinya.
Maafkan kafir!
Ali turut menjadikan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik sebagai sasarannya dan berkata menteri besar Kelantan itu, memaafkan golongan kafir atas kesalahan yang dilakukan.
“Sebagai contoh, semasa bulan puasa MP Serdang, Teo Nie Ching masuk ke sebuah surau menyampaikan tazkirah. Macam mana seorang bukan Islam boleh beri tazkirah di masjid tanpa rambutnya ditutup.
"Bila kita tegur, mereka kata Umno tak faham Islam.
"Sama juga dengan (ecxo Selangor) Elizabeth Wong. Bila skandalnya didedahkan, PAS terus mempertahankannya dan berkata kesian. Malah Nik Aziz juga dilaporkan memaafkannya dan berkata dia boleh sambut tugasnya.”
"Ini jelas maksiat dan dia sepatutnya boleh dirotan 100 kali. Dia telah bawa malu yang besar kepada PAS, PKR dan Pakatan Rakyat dan semua ini salah Nik Aziz,” kata Ali dan seterusnya melancarkan serangan ke atas Wong.
Sementara itu, bekas ketua penerangan PKR, Datuk Ruslan Kassim yang juga naik ke pentas berkata beliau tidak mengiktiraf Pakatan Rakyat.
"Saya tak mahu panggil mereka Pakatan Rakyat. Bagi saya, mereka cuma Pakatan Pembangkang.
"Mereka hanya tahu untuk membangkang, tahu nak memanipulasi fakta yang palsu (supaya)nampak benar. Nampak (mereka) yang betul, menyebabkan orang terpukau dan tersilau. Rupa-rupanya mereka berbohong," katanya.
Menurutnya parti pembangkang hanya suka "mengambil kesempatan" bagi merealisasi hasrat mereka untuk menawan Putrajaya.
Katanya, gabungan itu menggunakan "kehebatan" mereka dengan memberi persepsi negatif kepada rakyat terhadap BN dengan gambaran bahawa parti itu adalah "makhluk hina, zalim dan mengamalkan rasuah".
Jual agama
"Segala keburukan adalah daripada Umno. Dan mereka menggambarkan Pakatan Rakyat seperti kerajaan dewa-dewa, penuh dengan ketelusan, kebaikan, membela rakyat dan tidak ada kronisme.
"Seluruh yang baik-baik daripada mereka dan seluruh yang jahat daripada kita (BN). Dan ramai juga percaya, terpengaruh dan terpukau sehingga akhirnya terpangkah dan terundi (mereka)," katanya.
Menurut Ruslan yang juga seorang peguam, Pakatan Rakyat mengamalkan prinsip yang diperkenalkan oleh Niccolo Macheavelli iaitu "matlamat menghalalkan cara" dengan berbuat apa sahaja antaranya mempengaruhi rakyat demi mendapat kuasa.
"Mereka kata, siapa masuk PAS dapat pahala dan masuk syurga. Siapa undi Umno dapat dosa dan masuk neraka...Islam bukan eksklusif puak atau mana-mana kumpulan.
"Mereka berbuat apa sahaja sehingga keselamatan, kestabilan ekonomi dan perpaduan (menjadi) tidak penting... Mereka sanggup menjual agama dan negara... Mereka menggunakan pelbagai cara untuk memecahkan kita," katanya .
Turut hadir bersama adalah bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Isa Samad yang baru dilantik sebagai pengerusi Felda yang tiba kira-kira jam 10.50 malam.
Kemampuan diragui
Dalam ucapannya, Isa yang pernah terpalit dengan gejala rasuah mendakwa ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dikatakan akan menjadi perdana menteri Malaysia.
Bagaimanapun katanya, kedua-dua pemimpin tersebut diragui kemampuan mereka untuk mentadbir negara sekiranya menjawat jawatan tersebut
Isa yang juga bekas naib presiden Umno tetapi digantung jawatannnya, mendakwa Anwar adalah seorang yang "hipokrit dan berpura-pura" dan Abdul Hadi lemah dalam membuat keputusan.
"Abdul Hadi nak jadi PM, dia pun tak tahu banyak. Bila buat keputusan, dan (Datuk) Nik Aziz tidak tahu, maka dia undur ke belakang.
"Contohnya, sewaktu mahu mewujudkan kerajaan perpaduan dengan Umno, semua orang sokong, tetapi Nik Aziz tak setuju, sehingga mahu membuat muktamar khas.
"Bagaimana nak urus negara, bila jadi perdana menteri mahu buat keputusan, tak boleh. Kita tidak boleh beri (kuasa) kepada orang macam ini," katanya.