Pengundi dan orang tempatan di Air Panas malam tadi ternanti-nanti untuk mendengar ceramah sulung Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sempena pilihan raya kecil DUN Tenang.
Cuaca lembab akibat hujan sepanjang hari semalam di daerah mengundi itu, tidak menghalang orang ramai hadir mendengar ceramah yang diadakan di Dataran Air Panas.
Dalam ceramahnya, menteri besar Kelantan itu meminta pengundi memberikan sokongan penuh kepada calon PAS Normala Sudirman ketika pilihan raya 30 Januari ini.
Mengakui tidak mengenali lebih dekat calon PAS itu, Nik Aziz bagaimanapun memberitahu, "kehebatan" bekas guru itu jelas kelihatan, antaranya melalui laporan temuramahnya dengan akhbar.
"Cara dia menggunakan bahasa (dalam temuramah) nampak hebat.
"Beliau nampak hebat dan layak untuk menjaga bumi Allah, bukan Johor (sahaja)," katanya.
Nik Aziz juga menyeru agar usaha berkempen oleh mana-mana parti politik tidak disekat pihak tertentu agar rakyat dapat menilai pendekatan yang relevan untuk menyesuaikan dengan kehendak semasa.
Pilih yang selamat dunia, akhirat
Menurut beliau, PAS berpendirian mengetengahkan calon yang mampu membela nasib rakyat dan berpegang teguh kepada landasan syiar Islam.
"Begitu juga pilihanraya, kita ada kempen, jangan sekat dan jangan halang. Biar beri peluang kepada pengundi memilih. Satu pendirian yang PAS saya mahu sebut adalah pilih yang selamat di dunia dan selamat di akhirat," kata Nik Aziz.
Dalam ucapannya, Nik Aziz berkata agama dan politik harus diselarikan dalam aspek pentadbiran negara bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.
Tambahnya, pembohongan berterusan yang dilakukan Umno-BN mengelirukan rakyat justeru memisahkan kefahaman berpolitik yang dituntut oleh negara yang majoritinya masyarakat beragama Islam.
"Ini dia cerita politik lain, agama lain. Ertinya dalam masjid cakap lain, di luar masjid cakap lain. Betul ke begitu?
“Ini pembohongan yang dibuat orang Melayu sekular. Yang penting agama dan politik mesti selari," kata Nik Aziz.
Menteri besar Kelantan itu juga membidas kerajaan pusat yang mengamalkan dasar pilih kasih terhadap negeri-negeri di bawah naungannnya.
Beliau berkata, sikap Umno-BN yang kononnya ingin membela nasib Melayu tidak memperluaskan dasarnya secara menyeluruh.
"Perangai Umno mahu jaga Melayu, tapi Kelantan dia tidak peduli. Jalan raya dia tidak ambil kisah. Tuan-tuan pergi Kelantan sampai ke Bukit Yong, sempadan antara Besut dan Kelantan. Lihat jalan raya menghala ke Besut cantik.
"Pandang jalan ke Kelantan tidak ada. Jalan ini jalan pusat tapi Umno tidak buat kerana Kelantan," katanya kepada masyarakat yang hadir ke Dataran Ayer Panas.
Bukan calon tepi jalan
Sebelum itu, Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa yang berkongsi pentas sama berkata, Normala mempunyai rekod yang cemerlang dan bukannya hanya calon yang "dikutip di tepi jalan".
Katanya, Normala yang lebih dikenali sebagai Cikgu Mala pernah dinobatkan sebagai guru cemerlang oleh kerajaan pusat sendiri.
"(Guru cemerlang) bukan PAS yang bagi, bukan kerajaan Johor yang beri, yang bagi adalah Kementerian Pelajaran Malaysia, kerajaan pusat," katanya.
Antaranya yang hadir menyampaikan ceramah adalah Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, ADUN PKR Simpang Pulai Chang Ming Kai dan peguam Hassan Karim.
Daripada 200 peserta yang hadir, kebanyakannya penduduk tempatan.
Suasana penuh warna-warni dengan adanya penyokong wanita yang menghampar tikar di bawah kanopi ceramah. Malah ada berdiri di kiri dan kanan menghadap dataran dan kanopi itu.
Mengintai dari jauh
Malah juga yang asyik mendengar ceramah daripada gerai bihun sup atau sambil membelek barang-barang di gerai-gerai jualan sepanjang Jalan Sawah Baru.
Sebelum itu, Nik Aziz yang tiba dengan tongkatnya seperti biasa kira-kira jam 11.00 malam disambut dengan laungan takbir.
Kawasan yang becak akibat hujan sebelum itu menyebabkan beliau dibantu dua orang yang memegangnya dan menyuluh ke tanah untuk ke pentas ceramah.
Ketibaan beliau menyebabkan orang ramai yang pada mulanya tidak ramai berbondong-bondong merapati kanopi untuk mendengar ucapan dan menatapi wajah Nik Aziz dengan lebih jelas.
Bukan sahaja masyarakat Melayu, kelihatan juga pengundi kaum Cina.
Bagaimanapun, terdapat juga yang 'mengintainya' dari jauh, di atas motosikal dekat jalan raya, tanpa memasuki kawasan tersebut.