Ramai yang menjangkakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak akan menggunakan pendekatan yang hampir sama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam mengenakan kawalan ke atas media. Namun tidak ramai pula terfikir bahawa Najib sebenarnya akan bertindak lebih garang.
Semalam, Kementerian dalam Negeri mengumumkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 akan dijadikan lebih komprehensif dan tidak lagi terhad kepada bahan cetak semata-mata.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Mahmood Adam berkata pihaknya telah meminta Jabatan Peguam Negara mengkaji definisi penerbitan dalam akta itu untuk membolehkan ia boleh meliputi terbitan dalam bentuk multimedia termasuk kandungan internet, Facebook dan perisian.
Tidak dinafikan selama ini Malaysiakini dan beberapa portal berita lain mampu bertapak kerana ‘jalan keluar’- berdasar ikrar Mahathir pada 1995 bahawa tiada penapisan akan dilakukan ke atas internet ketika melancarkan projek Korridor Raya Multimedia.
Tsunami politik
Sejak persaraannya pada 2004, Mahathir sendiri menjadi seorang penulis blog.
Bebas daripada tapisan, media di internet berjaya meletakkan asas kewartawanan sebenar sehingga berlakunya ‘tsunami politik’ pada tahun 2008 yang menyaksikan perdana menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mengakui kerajaan telah “tewas dalam peperangan di internet”.
Meskipun media tradisional dan juga media internet dibelenggui oleh kira-kira 35 undang-undang yang menyekat kebebasan di Malaysia, namun terdapat satu faktor yang membezakan kedua-dua mereka.
Tidak seperti media cetak dan penyiaran, media di internet tidak memerlukan kebenaran daripada kerajaan untuk mencetak atau menerbitkan berita mereka.
Setiap tahun, media tradisional terpaksa memperbaharui permit penerbitan dan percetakkan. Undang-undang ini menghambat para editor dan wartawannya supaya terus patuh kehendak kerajaan.
Besar kemungkinan cadangan pindaan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 jika diluluskan akan menyaksikan media online juga diheret sama dan diwajibkan memohon untuk mendapatkan lesen.
Paku terakhir
Jika menjadi kenyataan, ia ibarat pukulan paku terakhir di keranda bagi kebebasan media di negara ini. Kebebasan meluahkan pendapat yang serba terbatas dinikmati di alam maya sejak 16 tahun lalu bakal berkubur.
Dengan perlesenan, kerajaan boleh mengenakan tekanan politik ke atas media di internet. Paling menggerunkan, menteri dalam negeri yang sebegitu berkuasa itu berhak mengisyitiharkan mana-mana lamanweb sebagai tapak haram. Lebih malang lagi, mengikut akta itu, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah.
Atas sebab itu, Najib dikatakan lebih teruk berbanding Mahathir berhubung operasi media.
Sebalik membebaskan media tradisional dengan membubarkan syarat perlesenan, Najib dan sepupunya, Menteri Dalam Negara, Datuk Seri Hishamuddin Hussein memilih tindakan regresif bagi mengekang kebebasan media di internet.
Pindaan akta itu dijangka akan dibentang di Parlimen menjelang Mac ini - keputusan dipercayai ada kaitan dengan cadangan mengadakan pilihan raya umum akan datang.
Cadangan meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bagi meliputi media online mesti dibantah. Jika tidak, Malaysia akan kembali ke zaman dahulu apabila kerajaan mempunyai monopoli mutlak terhadap kebenaran.
STEVEN GAN adalah ketua pengarang kumpulan dan pengasas bersama Malaysiakini, sebuah pertubuhan media online yang dilancarkan pada 1999.