Biarpun menghadapi serangan demi serangan berbentuk peribadi daripada Pakatan Rakyat, calon BN bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Mohd Azahar Ibrahim tetap tenang dan enggan terjebak dengan permainan kotor itu.
Menurutnya, beliau dan BN tidak akan terikut-ikut dengan taktik Pakatan Rakyat yang membuat serangan peribadi dengan menabur pelbagai fitnah dan tohmahan terhadapnya.
"Kita gentleman. Kita teruskan kerja-kerja kita dan berkempen dengan sebaiknya, tanpa terikut-ikut dengan pembangkang yang membuat serangan peribadi,” katanya pada sidang media di rumahnya di Labis, hari ini.
Bekas penolong pentadbir tanah daerah Kecil Rengit, Batu Pahat itu berkata, dalam pertemuannya dengan pengundi DUN Tenang, mereka tidak pernah menyentuh isu-isu peribadi yang digunakan oleh Pakatan Rakyat.
"Pengundi tidak pernah sekali bertanyakan saya (isu serangan peribadi).
Pengundi DUN Tenang tahu apa yang diperkatakan oleh pembangkang itu adalah tohmahan dan fitnah semata-mata,” kata Mohd Azahar.
Pada kempen pilihan raya kecil ini, Pakatan Rakyat menjadikan kejadian tanah milik seseorang dilelong ketika Mohd Azahar menjadi Penolong Pentadbir Tanah Segamat (2000-2006) sebagai isu, di samping mengungkit beberapa isu peribadi yang lain.
Ditanya mengenai isu tanah pada 2003 di mana PAS menuduhnya sebagai cuai sehingga menyebabkan tanah itu dilelong, katanya, sebagai penjawat awam beliau hanya mengikut prosedur.
"Saya telah mengikut segala prosedur jabatan (isu tanah 2003),” katanya ringkas.
Mengenai perancangannya jika dipilih sebagai wakil rakyat, Mohd Azahar berkata beliau akan memastikan pengundi pelbagai kaum DUN Tenang menikmati pembangunan yang lebih pesat.
- Bernama