Ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan dipercayai akan dikenakan tindakan disiplin kerana keengganannya menjawap surat tunjuk sebab PKR yang dikemukakan pada 4 Januari lalu.
Dalam jawapan angkuhnya di Twitter hari ini, Gobalakrishnan berkata, "Kenapa mesti saya jawab surat tunjuk sebab? Ketua umum PKR, Anwar Ibrahim dan parti mesti jawap soalan saya dulu. Saya tak akan berhenti sehingga mereka jawab.”
Gobalakrishnan, yang dihubungi pada pelancaran parti baru pimpinan bekas ahli majlis tertinggi PKR, Datuk Zaid Ibrahim - KITA - mendakwa dia juga tidak dapat memenuhi tarikh akhir 17 Januari itu kerana surat sepanjang 45 mukasurat itu diterimanya pada hari yang sama.
Bagaimanapun PKR mendakwa surat berkenaan dihantar ke Gobalakrishnan pada 4 januari lalu melalui pos berdaftar dan tarikh akhir pada 10 Januari kemudiannya dilanjutkan kepada 17 Januari lalu bagi memberinya peluang terus menjawab.
Adalah dipercayai berikutan kegagalannya itu akan menyaksikan Gobalakrishnan diheret ke mesyauarat disiplin PKR kerana membidas parti itu dan pemimpinnya.
Bekas naib presiden PKR itu sejak akhir-akhir ini seringkali membidas partinya, khususnya Anwar di Twitter dengan mendakwa PKR mengabaikan masyarakat India.
Bidasannya bermula apabila seorang peguam N Surendran dilantik sebagai naib presiden. Gobalakrishnan mendakwa penggantinya itu kurang pengalaman dan kelayakan bagi mewakili masyarakat India serta tidak fasih berbahasa Tamil.
Beliau juga menyalahkan Anwar kerana penutupan sebuah kuil Hindu di Bukit Gasing, Petaling Jaya.
[Baca berita penuh]