Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MB Perak sangkal 'BN tak mampu berubah'
Diterbitkan:  Jan 20, 2011 8:57 PM
Dikemaskini: Jan 21, 2011 2:23 AM

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyifatkan kenyataan presiden Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim yang mengatakan BN tidak mampu berubah adalah tabiat biasa yang diamalkan oleh sebuah parti politik baru.

Zambry yang juga pengerusi BN Perak berkata ia merupakan tindakan normal yang dilakukan oleh KITA yang menganggap mereka mampu menjadi parti pilihan yang kononnya mampu menjaga kesejahteraan rakyat di samping untuk meraih sokongan.

"Itu hanyalah hujah sebuah parti yang mahukan rakyat menyokong mereka," katanya kepada pemberita selepas melancarkan projek "Care-Love Cookies" anjuran Wanita MCA di Ipoh hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan presiden KITA itu yang mendakwa BN tidak mampu berubah dan akan terus bersikap autokratik dan autoritarian.

Berdasarkan sejarah politik yang dilalui Zaid, Zambry percaya rakyat di negara ini masih berpegang teguh dengan perjuangan BN yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat pelbagai kaum dan masyarakat.

Katanya perjuangan parti politik baru itu tidak akan menghalang mahupun menjejaskan kedudukan dan kemaraan perjuangan BN di negara ini.

"Mereka yang sering bertukar tempat perjuangan (bertukar parti politik) bagi saya, orang itu tidak akan kekal lama," kata beliau.

Zambry berkata beliau akan melihat sejauh mana perjuangan KITA dalam pentas politik untuk kemajuan rakyat dan negara.

Program "Care-Love Cookies" itu merupakan sebuah projek pembuatan biskut anjuran Wanita MCA bagi mengiktiraf golongan ibu tunggal di Perak.

- Bernama

ADS