Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari tetap meneruskan tugas biasanya sebagai wartawan walaupun digantung kerja oleh majikannya Utusan Melayu (M) Bhd.
Mengotakan janjinya untuk menjalankan 'tugasan', beliau pagi tadi muncul di majlis pelancararan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) di Pusat Konvensyen Sime Darby di ibu negara.
Di balik bisik-bisik tentang kehadirannya (penganjur menyebut namanya dalam kenyataan akhbar), Hata duduk di penjuru dewan bersama pemberita lain yang bertugas.
Beliau seperti biasa kelihatan mesra dan riang dengan teman seanggkatan. Sebahagian dari mereka menepuk bahunya tanda sokongan pada pemimpin kesatuan itu.
"Tugas mesti dilakukan. Wartawan tidak pernah berhenti daripada kerjanya," kata wartawan kanan Utusan Malaysia itu kepada Malaysiakini.
Walaupun 'tugasan' itu yang pertama baginya selepas digantung minggu lalu, ia bukan yang terakhir baginya.
"Saya kini boleh hadir ke mana-mana tugasan sekarang. Saya mahu buat liputan program perdana menteri. Kenapa tidak? Saya akan daftar sebagai wartawan Utusan," katanya.
Dalam organisasi berita, biasanya editor akan memberikan tugas kepada pemberian untuk liputan acara atau sidang media. Tetapi dalam kes Hata, beliau memberikan tugas kepada dirinya sendiri.
Jika tiada tugasan, Hata akan kembali duduk di kerusi dan meja plastik kecil di depan ibu pejabat Utusan yang dianggap sebagai 'pejabat' barunya.
Walaupun menghadapi masalah dengan majikannya, Hata juga menunjukkan bahawa hatinya begitu dekat dengan dunia kewartawanan.
"Kewartawanan ada dalam hari saya. Saya akan terus menjadi wartawan. Tetapi mungkin juga, dalam masa sama menjual nasi lemak atau buka kafe dengan makanan tertentu," katanya.