Ketua parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Datuk Zaid Ibrahim berkata, beliau percaya parti itu akan dapat menarik sokongan masyarakat Islam dengan pendekatan sekular yang diambil parti itu.
Katanya, ini memandangkan parti itu tidak berselindung dalam menyatakan pendirian sekular dalam menangani isu-isu antara kaum dan agama.
"Orang Melayu tak faham perkataan sekular, sebab itu jadi masalah. (Ada pihak) putar belit perkataan itu seolah-olah sekular itu menukar agama. Maka orang Melayu takut, orang Islam takut," katanya.
Jelasnya, perlembagaan persekutuan menetapkan Malaysia sebagai negara sekular, berbeza dengan negara seperti Iran yang dipimpin oleh ketua agama.
"Kita tak mahu negara seperti itu. Kita mahu wakil rakyat yang menentukan dasar, itu makna sekular," katanya lagi ketika ditemui wartawan selepas melancarkan parti KITA secara rasmi hari ini.
Berterus terang
Tambahnya, pendekatan yang diambil KITA juga berbeza dengan BN mahupun PAS dengan berterus terang mengenai pendirian sekular parti itu.
"Masalah politik negara kita, kita tak berterus terang dengan rakyat. BN pun kata (Malaysia) negara Islam, PAS pun kata dia (sokong negara) Islam tapi sokong perlembagaan, jadi macam mana?
"Perlembagaan kita sekular. Kalau kita sokong perlembagaan, bermaksud menyokong institusi sekular.
"Cuma, saya berterus-terang. Mereka tidak, itu saja bezanya," katanya lagi.
Tambahnya, anggota parti itu, yang dahulunya dikenali sebagai Angkatan Keadilan Insan Malaysia, tidak akan merasa "tersisih atau tersinggung" sekiranya mereka faham maksud sekularisme itu.
Zaid dalam ucapannya terdahulu berkata, isu-isu melibatkan perundangan Islam akan dapat diselesaikan sekiranya perlembagaan persekutuan dijadikan "prinsip pemandu" parti itu.
Katanya, isu berkenaan termasuk masalah berkaitan rumah ibadat dan konflik bidang kuasa mahkamah sivil dan syariah.
"Islam juga akan terus dihormati sekiranya perlembagaan persekutuan dijadikan undang-undang tertinggi.
"Negara ini diasaskan sebagai negara demokrasi berperlembagaan yang sekular dengan Islam sebagai agama rasmi, maka ia harus kekal sebegitu.
Nilai kemanusiaan
"Untuk mengekalkan keharmonian dan keamanan dalam sebuah negara berbilang agama, kepercayaan agama tidak boleh menentukan dasar awam melampaui nilai-nilai kemanusian yang diterima umum.
"Jika kita memilih untuk mengabaikan prinsip ini, kita yang akan musnah," katanya lagi dalam ucapan itu.