Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Pelajaran hari ini menganjurkan dialog tertutup berhubung novel Interlok dengan menghimpunkan beberapa pihak yang bertelingkah pendapat.

Antara terlibat wakil MIC, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan ahli akademik dari pelbagai universiti awam.

Dr Puad Zarkashi Dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Puad Zarkashi, mesyuarat yang bermula jam 9 pagi di Putrajaya itu hanya tamat empat jam kemudian.

Ini pertemuan pertama seumpamanya dianjurkan sejak novel itu mula tercetus hujung tahun lalu.

Antara yang hadir dalam sesi hari ini, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Datuk Abd Ghafar Mahmud, Ketua II Gapena Prof Abdul Latif Abu Bakar dan Pengerusi Biro Pendidikan MIC Tan Sri Datuk T Marimuthu.

MIC menghantar tujuh wakil.

Mereka termasuk Presiden Hindu Sangam Malaysia, RS Mohan Shah, Ketua Jabatan Pengajian India Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr S Kumaran, bekas pegawai Kementerian Pelajaran, G Krishnabagwan, bekas presiden Hindu Sangam Malaysia, Dr A Nagappan Arumugam dan Presiden Kelab Bell Tamil Malaysia, SV Lingam.

Bercakap kepada pemberita selepas sesi itu tamat kira-kira jam 1 petang tadi, Puad berkata, dialog itu berlangsung dalam suasana harmoni, rasional dan penuh intelektual.

"Kami berdialog dengan mesra dan intelektual dan tak terikat dengan emosi sebab matlamat utama yang dipersetujui tadi adalah untuk mencari penyelesaian dan cadangan-cadangan yang sesuai untuk mengatasi isu ini," katanya.

Menurut Puad, dialog itu dimulakan dengan dengan meminta wakil kementerian membentangkan sebab novel karangan Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain itu dipilih melalui "proses ketat", sebelum majlis dibuka untuk pandangan semua pihak.

NONE "Kita perincikan rasional dan justifikasinya dari pelbagai aspek... (seperti) tema, plot (cerita)," katanya yang juga ahli majlis tertinggi Umno.

Puad menambah, hasil dialog itu akan disampai kepada menteri pelajaran yang juga timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini juga sebelum dibincangkan dalam mesyuarat kabinet.

Ditanya bila kabinet akan membincangkannya, Puad menjawab: "Itu terpulanglah kepada menteri."

Sebelum ini, bahang mesyuarat melibatkan 21 peserta itu terasa apabila terdapat peserta yang keluar sebentar dari bilik tempat dialog berlangsung sambil berjenaka kepada beberapa pemberita.

"Panas," katanya sambil bergegas kembali menyambung dialog.

Beberapa peserta yang ditemui pemberita enggan selepas tamat dialog enggan mengulas berhubung program itu dengan alasan ia merupakan program tertutup.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS