Anak lelaki Sasterawan Negara Datuk - Thariq melahirkan kekesalannya kerana karya ayahnya, novel Interlok telah dipolitikkan untuk kepentingan individu tertentu.
Katanya, apa yang ditulis oleh ayahnya itu adalah berdasarkan fakta dan kajian tetapi malangnya sesetengah pihak hanya membaca beberapa halaman dan tidak secara keseluruhan.
"Sehingga hari ini, ayah saya mempertahankan novel ini kerana itu adalah kenyataan.
"Beliau apabila mahu buat sesuatu, beliau akan membuat penyelidikan. Saya diberitahu ayah saya, sebelum menulis novel beliau bertanya dengan seorang ahli akademik untuk digambar dalam novelnya," kata Thariq.
Bercakap kepada media di perhimpunan protes mempolitikkan Interlok di ibu negara, Thariq berkata apa yang terdapat dalam novel tersebut "tidak perlu ditukar kerana semuanya adalah fakta".
Ditanya mengenai perasaan ayahnya ketika ini selepas novelnya menimbulkan kontroversi, Thariq berkata:
"Ayah agak tertekan, tetapi masih steady . Beliau tidak sangka ia berlanjutan sehingga berlakunya demontrasi dan membakar novel," katanya.
Thariq berkata pelbagai pihak termasuk NGO dan individu datang menziarahi ayahnya dan memberi serta menyatakan sokongan terhadap sasterawan negara itu yang kini terlantar kerana uzur.
Dunia sendiri
"Ayah saya orang sastera. Beliau hidup dalam dunianya tersendiri... beliau tidak mahu mengubah apa-apa (kandungan) sehingga hari ini.
"Ini kerana (novel) itu adalah hasil karyanya, dan ia tidak pernah dipertikaikan sebelum ini dan menjadi rujukan di universiti," tegas Thariq.
Sehubungan itu, Thariq mahu novel Interlok tidak dipolitikkan untuk keuntungan pihak tertentu.
Sebelum itu, Thariq yang dalam ucapannya, mahu semua pihak membaca novel berkenaan secara keseluruhan kerana ia menceritaka mengenai "susah payah" tiga bangsa - Melayu, Cina dan India - sehingga mencapai kemerdekaan.
"Apa yang berlaku, ada golongan tertentu mengambil bahagian tertentu dan mempolitikkan untuk kepentingan politik peribadi," katanya.
Seramai 60 orang hadir dalam perhimpunan ini bagi membantah tindakan mempolitikkan Interlok dan membakar karya agung itu sebelum ini.
Mereka yang terdiri daripada tidak kurang 30 NGO dan persatuan penulis dari seluruh negara yang sesetengahnya bernaung di bawah Gapena.
Pecat Murugiah!
Pada satu ketika, majlis hari ini panas apabila, ketua satu, Persatuan Penulis Johor, Amiruddin Mat Ali bangkit dan mendesak Timbalan Menteri, Datuk T Murugiah melepaskan jawatannya sebagai ahli dewan negera kerana mencampuri "urusan menteri pelajaran" dalam isu ini.
"Ahli dewan negara ada bidang-bidang khususnya, bukan mencampuri urusan orang lain," katanya.
Namun kata Amiruddin, mereka tidak akan terikut-ikut dengan membakar gambar Murugiah dan mereka yang menyokong Interlok diharamkan.
"Dia baru sahaja sertai MIC setelah dihalau oleh PPP dan mahu publisiti untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.
"Jadi dia mempolitikan isu ini untuk dapatkan sokongan. Dia pernah diminta letak jawatan dalam PPP, sekrang kita minta dia letak jawatan senator dan kabinet,” katanya.
Menurut Amiruddin lagi, Persatuan Penulis Johor berharap, Murugiah yang memulakan persoalan Interlok ini memperjelas kepada rakyat Malaysia kerana kebiadabannya yang tidak menghormati menteri pelajaran.
'Seolah-olah Muhyidin sudah mati'
“Beliau yang menyatakan Interlok ditarik balik seolah-olah Menteri Pelajaran sudah tidak ada, seolah-olah Tan Sri Muhyiddin sudah mati, bagi Murugiah barangkali," katanya.
Turut hadir adalah ketua II Gapena, Datuk Abdul Latif Bakar dan pelakon Abu Bakar Omar.
Abdul Latiff berkata perhimpunan hari ini bertujuan mempertahankan novel tersebut dari dipolitikkan, diharamkan penggunaannya dan dibuat pindaan ke atas beberapa ayat tertentu.
"Novel ini adalah sesuatu yang bernilai tinggi...satu resolusi berhubung isu ini juga akan dihantar kepada Kementerian Pelajaran selain mengadakan rundingan meja bulat dengan semua pihak tidak mengira kaum," katanya kepada pemberita.
Abu Bakar pula mahu filem dan drama Tamil serta Hindi diharamkan jika masyarakat India mendakwa Interlok tidak mewakiili gambaran Malaysia yang sebenar.
"Kebanyakan drama dan filem yang dihasilkan dari India adalah fiksyen dan tidak mewakili masyarakat di negara ini, jadi ia juga sepatutnya diharamkan.
"Filem dan drama seumpama itu juga mesti dihentikan daripada dibenarkan masuk ke negara ini,” katanya dengan berang.
Lapan resolusi
Pada perhimpunan petang ini, semua anggota NGO yang hadir bersepakat memperakui Interlok sebagai sebuah karya yang mempunyai intergriti.
Sehubungan itu, mereka telah meluluskan lapan resolusi bersama. Antaranya menolak sebarang tuduhan bahawa Interlok adalah sebuah novel yang menghina masyarakat India.
Mereka juga menolak sebarang cadangan untuk menarik balik penggunaan Interlok sebagai buku teks sastera di sekolah menengah serta membantah sekeras-kerasnya sebarang cadangan untuk meminda mana-mana teks dalan novel tersebut.
Mereka juga menuntut individu yang mempunyai jawatan tinggi dalam kerajaan tetapi mempolitikkan Interlok dipecat kerana mencetuskan salah sangka, pra sangka dan pergolakan antara kaum.
Mereka juga mahu menteri di kementerian dalam negeri bertindak tegas terhadap sebarang usaha dan perebutan yang mencabar keamanan dan ketenteraman awam.
Resolusi itu dibacakan oleh ketua media Gapena Borhan Md Zain ( atas, kiri ) dan majlis berakhir jam 4 petang.