Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pertelingkahan azan sedang diselesaikan, kata Koh
Diterbitkan:  Jan 15, 2011 1:57 PM
Dikemaskini: 6:22 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Koh Tsu Koon berkata kontroversi berhubung laungan azan di Masjid Al-Ikhlasiah di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur sedang diselesaikan tanpa campur tangan kerajaan.

gerakan life member council congress 061110 koh tsu koon Katanya, pertikaian seumpama itu bukan sesuatu yang baru dan ia ditangani di peringkat tempatan tanpa campur tangan orang luar.

"Mereka sudahpun mencari jalan penyelesaian pada peringkat bawah, jadi tidak perlu menjadikan ini isu besar dan bergaduh,” kata Koh yang dipertanggungjawabkan menjaga hal erhwal perpaduan rakyat.

Beliau pada majlis melancarkan buku tulisan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow di Kuala Lumpur hari ini, diminta mengulas sama ada pihaknya akan berjumpa dengan pihak-pihak yang terbabit dalam pertelingkahan itu.

Pada kejadian petang semalam, kira-kira 100 orang berhimpun di perkarangan masjid berkenaan bagi membantah tindakan seorang peguam bukan Islam yang dikatakan ahli MCA - meminta laungan azan diperlahankan.  

NONE Dengan memegang kain rentang serta laungan Allahuakbar, mereka juga turut membakar patung peguam berkenaan dan mengugutnya.

Koh berkata, beliau secara peribadi belum melihat surat yang didakwa ditulis oleh ahli MCA kepada kerajaan dan beberapa pihak, termasuk dirinya pada akhir bulan lalu, yang dikatakan meminta agar laungan azan menerusi pembesar suara diperlahankan.

Belum lihat surat

"Saya belum melihat surat itu. Biar saya tengok dulu dan kemudian saya akan komen," kata beliau kepada pemberita hari ini. Bagaimanapun kata beliau, pihaknya sudah pun memulakan usaha untuk mengatasi isu tersebut.

NONE "Kami sudah pun mula bertindak untuk melihat bagaimana isu ini boleh diselesaikan, jadi jika boleh bertindak (menyelesaikan isu) berbanding menjadikannya isu besar dan berkelahi menerusi media," katanya.

Menurut Koh, kejadian seumpama itu bukan sesuatu yang baru, sambil menambah ia pernah terjadi di Pulau Pinang, ketika beliau adalah ketua menterinya.

"Ia diselesaikan sendiri oleh penduduk tempatan, cara ini mereka lebih memahami satu sama lain,” kata Koh.

Beliau juga tidak mahu mengulas bila ditanya  sama ada panel antara agama yang di bawah kementeriannya akan meneliti kejadian itu.

NONE "Saya fikir selepas meluahkan perasaan secara emosi, kedua-dua pihak akan reda,” katanya sambil menggesa semua pihak bersabar dan mencari penyelesaian bersama.

"Jika mereka mula menyerang satu sama lain di blog, ini akan memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Koh enggan memberikan maklumat lanjut mengenai isu itu tetapi yakin pihak-pihak yang marah dalam pertikaian semasa ini akan menemui jalan penyelesaian.

"Ini salah satu isu dan pada kebanyakan masa, ia boleh diselesaikan," kata beliau.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS