Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
S'gor bantu orang Islam henti kerja di premis arak
Diterbitkan:  Jan 14, 2011 6:04 PM
Dikemaskini: Jan 15, 2011 1:36 AM

Kerajaan Selangor akan menubuhkan sebuah tabung khas untuk membantu pekerja beragama Islam yang sedar untuk meninggalkan pekerjaan di premis dan pusat hiburan yang menjual minuman keras.  

NONE Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaaan Selangor prihatin dengan perbincangan mengenai pelaksanaan Enakmen Jenayah Syariah yang tidak membenarkan umat Islam bekerja di premis berkenaan.

"Kami telah meminta ahli Exco negeri, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali, Yaakob Sapari, Dr Halimah Ali dan Hajjah Rodziah Ismail untuk menubuhkan satu sekretariat yang akan mengadakan perjumpaan dengan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi membincangkan isu ini.  

Dalam satu kenyataan hari ini, menteri besar berkata, LZS akan diminta untuk bersama-sama menubuhkan tabung khas tersebut.  

Katanya, kerajaan negeri sedar kebanyakan orang Islam yang bekerja di tempat sedemikian membuat keputusan tersebut atas sebab ekonomi.

Rezeki halal

Oleh itu, tegas menteri besar lagi, tabung ini akan memainkan peranan agar mereka tidak akan terbeban dengan penguatkuasaan undang-undang ini.

"Kami menghormati Enakmen Jenayah Syariah yang bertujuan memelihara umat Islam untuk mencari rezeki yang halal.

NONE "Pada masa yang sama, sebagai kerajaan prihatin dan adil, kita perlu memberi tempoh yang cukup kepada semua pihak termasuk pemilik premis dan pekerja yang terlibat," katanya.

Berikutan itu, Khalid berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua datuk bandar dan yang dipertua pihak berkuasa tempatan Isnin depan untuk mendapat pandangan mereka bagi memastikan penguatkuasaan enakmen tersebut dilaksanakan dengan baik dan berkesan.

Kenyataan menteri besar itu bertujuan meredakan percanggahan pendapat berhubung penakrifan larangan orang Islam bekerja di tempat-tempat yang menyajikan minuman keras.

NONE Jika semalam, exco perumahaan dan kerajaan tempatan, Ronnie Liu berkata umat Islam dibolehkan berbuat demikian kerana larangan berkenaan yang dikeluarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah diarahkan ditarik balik, namun hari ini, exco hal ehwal Islam, adat Melayu, infrastruktur dan kemudahan awam, Datuk Hasan Mohamed Ali  mempunyai definisi yang berlainan.

Tindakan wajar

“Berhubung dengan isu orang-orang Islam yang dilarang bekerja di tempat-tempat menjual minuman keras seperti yang dikuatkuasakan di MPSJ, saya sebagai exco yang menjaga

hal ehwal Islam di negeri Selangor mendapati bahawa tindakan tersebut adalah wajar.

NONE “Saya mengucapkan syabas dan terima kasih kepada pimpinan MPSJ yang telahpun menguatkuasakan peraturan ini. Saya difahamkan peraturan ini telah melalui tiga proses perbincangan di peringkat jawatankuasa yang telah mendapat pengesahan dan kelulusan dari semua pihak termasuk ahli-ahli majlis yang bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan media.

Liu pula semalam mengesahkan pekeliling menarik balik larangan itu telah dikeluarkan kepada presiden MPSJ, Md Adnan Ikhsan dengan alasan “kerajaan negeri tidak menyedarinya.”

"Kami tidak dirujuk (berhubung larangan itu). Sebab itu, kita minta mereka tarik dulu,” katanya, sambil menambah isu berkenaan turut dibincangkan pada mesyuarat exco Rabu lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS