ADUN Merlimau, Datuk Mohd Hidhir Abu Hasan sedang menjalani rawatan di Hospital Putra di Melaka selepas pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat, lapor The Star Online .
Mohd Hidhir, yang juga adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa dan Pertanian negeri dimasukkan ke hospital itu pada jam 1 petang semalam selepas mengalami ketidak-selesaan perut selama beberapa hari sekembalinya dari Taiwan, Isnin lalu.
"Pada mulanya, saya mendapatkan rawatan untuk perut tetapi memutuskan untuk menjalani ujian lanjut apabila sakit itu berulang meskipun diberi ubat.
"Ujian lanjut pada Khamis mendedahkan arteri saya tersumbat,” katanya di Melaka hari ini.
Katanya, doktor kemudiannya menjalankan pembedahan kecil, lewat petang semalam.
Sehubungan itu, Hidhir menafikan khabar angin yang beliau diserang sakit jantung dan keadaannya serius.
Beliau yang agak girang berkata beliau masih di unit kardiak dan akan dipindahkan ke wad biasa Sabtu ini untuk tujuan pemantauan.
Lewat malam semalam, Malaysiakini memetik laporan Utusan Malaysia Online yang Mohamad Hidhir dimasukkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung.