Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
AMK Perlis bantah Johari Shafie kekal pengerusi PKR
Diterbitkan:  Jan 11, 2011 8:04 PM
Dikemaskini: 1:18 PM

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis kesal dengan keputusan PKR pusat mengekalkan Johari Shafie sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN).

Ketuanya, Zamri Sapar berkata pihaknya difahamkan Johari telah dilantik berdasarkan pilihan majoriti ahli PKR Perlis.

"Ini amatlah dikesali kerana PKR Perlis secara majoriti menolak pelantikan beliau berdasarkan prestasi beliau selama dua tahun menerajui PKR Perlis," tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Berikutan itu, katanya, AMK Perlis dengan sokongan AMK Cabang Kangar, Arau dan Padang Besar merasa agak terkilan dengan keputusan melanjutkan jawatan Johari.

Zamri mendakwa, ia ekoran prestasi Johari yang didakwanya amat mendukacitakan selama diberi tanggungjawab untuk mengukuhkan PKR Perlis selama dua tahun.

"Bagaimana beliau boleh dipilih lagi jika organisasi di peringkat negeri pun tidak berfungsi. Imej dan maruah PKR Perlis amat merosot di bawah kepimpinan beliau," tambahnya.

Berikutan itu, katanya, AMK Perlis mendesak kepimpinan pusat menukarkan segera Johari bagi memulihkan imej dan maruah PKR negeri.

"Dan seterusnya dapat membuat persediaan bagi menghadapi PRU 13 yang semakin dekat dan dapat mengerahkan tenaga dan jentera dari peringkat cabang dan negeri bagi membantu di PRK Tenang hujung bulan ini.

"Kami AMK Perlis inginkan pimpinan baru yang lebih bertenaga dan efektif bagi peringkat negeri bagi memulihkan keyakinan ahli parti, pengundi dan seterusnya dapat mengukuhkan kembali PKR Perlis.

"Kami ingin turut sama memaklumkan bahawa dua pertiga majoriti cabang di Perlis, iaitu Cabang Kangar dan Arau, bersama dengan

kami, membantah pelantikan semula Saudara Johari," tegas Zamri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS