Keluarga M Krishnan - lelaki yang mati ketika dalam tahan polis pada 7 Januari lalu kesal kerana polis terus enggan memberi lampu hijau kepada Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) menjalankan bedah-siasat kedua ke atas mangsa.
Menurut peguam yang mewakili keluarga berkenaan, N Surendran, meskipun dirayu ahli keluarga dan sahabat-handai mangsa yang curiga dengan kecederaan yang ditemui pada tubuh Krishnan, namun polis tetap tidak berganjak.
"Seharusnya tidak ada masalah setuju atau tidak bersetuju dengan post-mortem kedua ini. Keluarga berhak untuk itu jika mereka tidak puas hati dengan hasil dari bedah siasat sebelum ini maka mereka harus diberikan sebuah post mortem kedua. Seharusnya tidak ada pertanyaan atau keberatan," kata Surendran.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Mohan Singh berkata beliau tidak dapat membenarkan bedah-siasat itu tanpa arahan dari Bukit Aman.
Serah memo tuntutan
Hari ini, kira-kira 50 orang diwakili peguam Surendran dan Fadiah Nadwa Fikri, bersama-sama Pengarah Biro Aduan PKR S Manikavasagam, ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan Timbalan Ketua Pemuda PKR Khairul Anuar Zainuddin tampil ke Bukit Amanbagi menyerahkan memorandum tuntutan itu.
Krishnan, 36 tahun, seorang juruelektrik ditahan di Taman Miharja pada 3 Januari lalu kerana disyaki terbabit dengan kegiatan dadah dan direman selama empat hari di balai polis Bukit Jalil.
Menurut saksi, mendiang dibawa ke hospital HUKM, 3 hari kemudian selepas mengadu sakit perut.
Namun, Krishnan diisytiharkan mati keesokan hari. Pihak hospital melaporkan mendiang mati kerana mengalami luka dalam perut.
Isteri mendiang P Revathi, 38, bagaimanapun menolak laporan itu sebagai mencurigakan.
"Selepas meninggal, bedah siasat dibuat tanpa izin saya. Siapa yang benarkan hospital buat post-mortem? Saya ada enam orang anak, siapa mau tanggung mereka sekarang ini?" soal beliau.
Kesan koyak di rusuk
Keluarga mangsa memfailkan satu laporan polis di balai Jinjang.
Menurut Revathi, tiada seorang daripada ahli keluarga yang mengetahui suaminya ditahan polis. Mereka hanya mengetahui mengenai kematian Krishnan daripada seorang saksi kejadian.
Dakwanya, di bilik mayat, beliau terkejut melihat kesan koyak pada rusuk mangsa yang disertai lebam pada mata, dan belakang tubuh yang dipercayai akibat kesan dipijak.
"Dia bawa ke belakang, mereka pukul. Lebam-lebam luka pada belakang badan. Lepas itu polis berikan ubat. Ubat apa yang mereka bagi, kita tidak tahu. Siapa izinkan mereka bagi ubat pun kita tak tahu. Saya ada saksi, dan saya boleh bawa saksi ini ke mahkamah mana-mana pun. Sekarang siapa mau jawab?," kata Revathi sambil menaggis.
Saksi dilindungi peguam
Menurut peguam keluarga berkenaan saksi tunggal kejadian itu kini dalam perlindungan mereka atas alasan keselamatan. Butiran terperinci kejadian itu akan diumumkan saksi dalam masa terdekat.
"Dua minggu lalu, Sivam mati di balai polis Sentul. Minggu lepas, Krishnan. Selepas Kugan, setiap minggu ada sahaja yang mati dalam tempat yang paling selamat, dalam lokap, ada sahaja yang mati," kata Manikavasagam pula.
Kematian membabitkan pihak polis di negara didakwa meningkat 500 peratus dalam masa sesingkat 3 tahun ini.