Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Jurugambar dakwa dipukul
Diterbitkan:  Jan 10, 2011 1:35 PM
Dikemaskini: Jan 11, 2011 2:26 AM

Seorang jurugambar membuat laporan polis terhadap beberapa anggota polis bantuan yang didakwanya telah memukul, menggari serta mengugutnya berhampiran Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS), di Kuala Lumpur semalam.

NONE Hairul Nizam Baharin, 37, dari Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata beliau diperlakukan sedemikian selepas menjalankan tugas mengambil gambar di persekitaran terminal tersebut kira-kira-kira pukul 11.30 pagi.

"Sekumpulan lelaki yang memakai ves polis bantuan meminta saya memberhentikan motosikal selepas saya selesai ambil gambar di situ, tapi saya enggan kerana tidak tahu tujuan mereka," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur.

Hairul Nizam berkata beliau bagaimanapun terpaksa memberhentikan motosikalnya apabila kumpulan itu terus mengekori dan menghalangnya daripada meneruskan perjalanan.

NONE "Mereka kemudian merampas kunci motosikal saya dan apabila saya tanya kenapa mereka cuma diam. Seorang daripada mereka minta kad pengenalan namun saya enggan serahkan kerana tidak tahu tujuan mereka.

"Polis berpangkat sarjan itu kemudian menyentuh badan saya dan saya kata padanya yang dia tidak boleh menyentuh saya. Dia kemudian bertindak menumbuk saya," katanya.

Hairul Nizam berkata kepalanya juga diketuk dengan topi keledar meskipun berulang kali meminta dilepaskan.

"Salah seorang daripada mereka kemudian mengarahkan saya digari sebelum dibawa ke balai polis TBS-BTS. Di situ anggota yang bertugas mengarahkan gari saya dibuka dan saya dibebaskan," katanya.

Hairul Nizam berkata tindakan kumpulan polis bantuan itu adalah tidak profesional selain memperlakukannya seperti penjenayah sedangkan beliau hanya menjalankan tugas yang diarah majikannya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS