Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS ikrar setia dengan Pakatan Rakyat
Diterbitkan:  Jan 10, 2011 1:11 PM
Dikemaskini: 5:31 AM

Pemimpin tertinggi PAS berikrar akan tetap setia bersama Pakatan Rakyat dan menolak khabar angin bahawa parti itu akan bekerjasama dengan Umno.

NONE Jaminan ini dinyatakan sendiri oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila mengulas isu perjumpaan pemimpin PAS dan Umno atas undangan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini.

Hadi berkata demikian ketika berpidato pada majilis solat hajat perdana di Stadium Melawati, Shah Alam, semalam. Majlis itu diadakan bagi memohon Allah menyelamatkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang hebat diserang terutama dalam isu perlantikan setiausaha kerajaan negeri Selangor.

"Majlis ini dianjurkan oleh pimpinan PAS untuk menyatakan kita akan bersama dengan rakan Pakatan Rakyat dalam sebarang cabaran dan penentangan BN.

NONE “Kepada siapa sahaja rakan kita yang disentuh samada PAS, PKR dan DAP, kita akan bersama dalam hadapi segala cabaran. Pakatan Rakyat makin hari makin kuat. Ini kenyataan terbuka yang kita nyatakan secara praktikal pada malam ini," katanya.

Majlis anjuran PAS ini mendapat sambutan luar biasa apabila hampir 12 ribu hadirin membanjiri kawasan stadium menyertai acara solat hajat dan memberi sokongan terhadap kerajaan negeri Selangor.

Pengkhianatan Umno

NONE Turut hadir di majlis ini adalah ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat serta pemimpin kanan dari kedua-dua parti Pakatan Rakyat ini.

Nik Aziz pula dalam pidatonya, menyentuh pengkhianatan Umno ketika PAS menjadi komponen BN.

"Dia nak bela Melayu tapi Melayu Kelantan tak nak bela. Inilah Umno. Nak suruh PAS berpadu dengan dia. Kita dah masuk BN, itupun dengan permintaan Allahyarham Tun Razak.

"Bila masuk dia tendang kita. Saya ingat pepatah Arab. 'Anjing yang kurus, bagi makan sampai gemuk, dia gigit kita balik. Oleh yang demikian bila dia minta balik bersungguh minta balik bekerjasama kita kata tidak," kata Nik Aziz.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis itu, Anwar berkata kontroversi pertemuan kepimpinan PAS bersama Umno sempena santapan di Istana Terengganu 24 Disember lalu sudah selesai.

NONE Katanya, Pakatan Rakyat sudah dimaklumkan mengenai pertemuan bulan lalu, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya pada majlis santapan anjuran Yang di-Pertuan Agong.

“Tidak perlu nak panjangkan lagi, kita sudah ambil maklum.

Tiada tafsiran lain

“Tiada masalah dan tafsiran lain (pertemuan 24 Disember) itu,” kata Anwar.

Hadi pula pada sidang media yang sama berkata pihaknya telah menjelaskan “pertemuan 24 Disember itu” kepada pemimpin Pakatan Rakyat.

NONE “Kita sudah maklumkan, kita juga sudah buat kenyataan terbuka mengenainya (pertemuan 24 Disember).

“Bila kita maklumkan tidak perlu saya beritahu, jadi jangan nak soal siasat macam polis,” kata ahli parlimen Marang itu.

Sebelum ini, Nik Aziz juga menyifatkan perkara tersebut telah selesai dan tidak perlu dibincangkan lagi.

“Tak ada dah, tutup ‘book’ (buku) dah,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS