Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas pelan 100 hari yang dibentangkan oleh Pakatan Rakyat bulan lalu, yang disifatkannya sebagai populis dan tidak bertanggungjawab.
Perdana Menteri berkata selepas dikaji pelan itu, ia sebenarnya tidak berpaksi kepada kenyataan kerana tidak ada pembentangan dari segi punca kewangannya.
"Kita tidak boleh mengambil sikap terlalu populis sehingga menggadaikan masa depan negara. Kita tidak boleh begitu, tidak bertanggungjawab sama sekali sehingga anak dan cucu kita merana nanti.
"Malah, tak perlu tunggu anak dan cucu, dalam masa dua tahun sahaja, mengikut perkiraan kita, jika janji itu dilaksanakan tanpa mengambil kira kemampuan negara," katanya pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya.
Hapuskan tol
Bulan lalu, Pakatan Rakyat mengemukakan tawaran dalam Program 100 hari yang mengandungi sembilan perkara termasuk pengurusan negara, ekonomi dan pendidikan yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari jika menang pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.
Antaranya mengarahkan Khazanah Nasional Berhad dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyempurnakan pengambilan alih aset lebuh raya oleh kerajaan dengan tujuan menghapuskan tol, merombak struktur subsidi bagi mengurangkan subsidi kepada swasta dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat, menaikkan imbuhan perguruan RM500 sebulan dan melupuskan Felda Plantations bagi membuka ladang yang diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.
Sambil mengingatkan rakyat mengenai bidalan Melayu lama "jangan kerana menang sorak, kampung tergadai", Najib percaya sebagai penjawat awam yang amat berpengetahuan, mereka boleh membuat penilaian sendiri.
"Saya selalu berpegang kepada ungkapan, jika ia begitu baik, sudah pasti ia tidak benar.
"Jadi, jika kita percaya sesuatu yang begitu baik sekali, tetapi tidak berpegang atau berpijak pada bumi yang nyata, bahawa kita menipu diri kita sendiri dan jika kita percaya ia adalah kesilapan kita sendiri," katanya.
Beliau juga berkata ia ibarat individu yang mengidamkan kereta dan rumah yang lebih besar dan segala kemudahan lain yang tentunya perlu berdasarkan kemampuan sendiri.
Katanya beliau hairan dan berasa aneh kerana segala langkah yang dibentangkan dalam pelan tersebut yang bersifat populis itu tidak disebut langsung dari segi punca kewangannya.
"Jadi, kalau begitu, bagaimana segala yang dijanjikan kepada rakyat boleh dilaksanakan dan ditunaikan," katanya.
Kerajaan BN bertanggungjawab
Sehubungan itu, Najib berkata beliau mahu penjawat awam mempertingkatkan momentum pada tahun ini untuk melaksanakan segala agenda dan dasar utama negara.
Katanya ini kerana apa yang telah dibentangkan dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, merupakan kerajaan yang bertanggungjawab, iaitu tidak membuat janji yang tidak boleh ditunaikan, yang bertentangan dengan pelan 100 hari Pakatan Rakyat.
Katanya beliau juga mahu tahun ini dapat mengulangi kejayaan tahun lalu, iaitu berjaya membawa negara melepasi kesan buruk krisis global yang telah melanda dunia dan berjaya membentangkan agenda utama kerajaan melalui Program Transformasi Kerajaan (GTP), Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), Program Transformasi Ekonomi (ETP), 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), Model Baru Ekonomi dengan lapan strategik, pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan bajet 2011.
Katanya penjawat awam dan institusi perkhidmatan awam adalah kumpulan yang sangat penting untuk menentukan segala yang telah dirancang dan dibentangkan sebagai agenda dan dasar utama negara agar dapat dilaksanakan dan kesannya dapat disampaikan kepada kumpulan sasar dan rakyat keseluruhannya.
"Sebagai penjawat awam, saya berharap segala yang perlu dilaksanakan, setelah semua tatacara peraturan kewangan dipatuhi, dilaksanakan secepat mungkin, jika kita hendak negara terus maju dan mencapai kejayaan, agar segalanya dapat dirasai dampaknya dan hasilnya kepada rakyat," katanya.
- Bernama