Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata perjumpaannya dengan ahli parlimen BN hari ini bukanlah semata-mata sebagai persiapan untuk menghadapi pilihan raya.
Sebaliknya, pertemuan itu merupakan sebahagian daripada proses transformasi politik yang dipelopori beliau, kata Najib dalam sidang media selepas bertemu seramai 105 ahli parlimen berkenaan hari ini.
"Saya nak kata bahawa ini merupakan proses transformasi politik. Pilihan raya itu sebahagian dariapda apa yang terpaksa kita lalui. Tapi lebih besar daripada itu adalah hasrat kita untuk menampilkan BN sebagai parti yang mendahulukan rakyat.
"Sepertimana saya telah umumkan dalam perhimpunan agung dulu bahawa kita akan melancarkan program yang berbentuk transformasi politik
"Ertinya, keseluruhan kepemimpinan BN dari peringkat tertinggi sampailah ke peringkat akar umbi iaitu ketua-ketua cawangan akan melalui proses transformasi ini dengan pelbagai kaedah dan program yang kita sedang atur," katanya lagi
Tambahnnya, pertemuan juga lebih mirip kepada usaha untuk mendengar masalah yang dihadapi masyarakat di kawasan yang diwakili parti itu.
"Saya dapati ia amat berguna untuk saya dapat perspektif yang tepat tentang kedudukan di setiap kawasan parlimen yang diwakili oleh BN," katanya dan menambah beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan wakil rakyat berkenaan.
"Tapi masih ada ruang untuk (MP BN) tingkatkan peranannya dan sebahagian daripada usaha mempertingkatkan kemampuan mereka adalah kalau kita dapat membantu mereka menyelesaikan masalah rakyat.
"Sebab sebahagian besar dairpada masalah itu di luar kemampuan mereka untuk selesaikan sebab memerlukan kelulusan kerajaan," katanya lagi.
Namun, beliau berkata pertemuan selama kira-kira lapan jam itu bukanlah khusus untuk menilai prestasi wakil rakyat berkenaan.
"Saya tak tetapkan secara khusus dari segi KPI (indeks prestasi utama) tapi kita ada cara dan kaedah untuk mengukur prestasi setiap ahli parlimen. Ini dijadikan asas untuk kita membuat pertimbangan apabila sampai masanya," tambahnya.
Ditanya mengenai isu-isu yang diutarakan dalam pertemuan itu beliau sekadar berkata: "Yang pentingnya semua berkenaan masalah dan kepentingan rakyat. Projek-projek pun, program pun menyentuh soal kepentingan rakyat."
Tambahnya lagi, apabila berkesempatan kelak, beliau juga akan bertemu dengan ketua-ketua bahagian parti dan juga ADUN BN.