Bekas pembantu rumah Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata majikannya itu ialah seorang yang baik hati dan tidak mempunyai masalah dengan dirinya.
"Datuk Rais Yatim orang yang baik. Bahkan pemberitaan yang selama ini menyebutkan saya sudah diperkosa sama sekali tidak benar. Saya juga sering diberi wang serta oleh-oleh daripada beliau," jelas wanita warga Indonesia berusia 46 tahun itu kepada wartawan di rumahnya di sebuah perkampungan di Jawa Tengah, Jumaat.
Laporan portal berita detik.com memetik beliau sebagai berkata bahawa sepanjang lapan tahun beliau bekerja sebagai pembantu di rumah Rais dari 1999 hingga 2007, beliau pernah diberi cuti satu setengah bulan.
Katanya beliau bekerja bersama tiga orang pembantu lain dari Indonesia.
"Biasanya kami sering bahagi-bahagi tugas. Saya bertugas sebagai pengantar makanan jika ada jamuan di rumah Datuk. Selain itu juga membukakan pintu pagar bila Datuk baru pulang," katanya.
Wanita itu berkata jika Rais berperangai jahat dan berperilaku kasar terhadapnya, tentu beliau tidak akan dapat bertahan untuk bekerja selama itu di rumahnya.
Semua keluarga Rais juga melayan para pembantu dengan baik, katanya.
"Jadi jika ada pemberitaan yang menyatakan bahawa saya pernah diperkosa Datuk, itu sama sekali tidak benar," katanya.
Suami wanita itu yang berusia 52 tahun, yang turut mendampinginya semasa ditemuramah wartawan, telah menyatakan rasa terkejut ketika mendengar berita yang menyebutkan bahawa bekas majikan isterinya itu kononnya telah memperkosa pembantunya, apalagi mahu mempercayai bahawa mangsa itu adalah isterinya.
"Selama bekerja di Malaysia, isteri saya tidak pernah mengeluh mendapat perlakuan yang tidak baik daripada majikannya," kata beliau.
- Bernama