Polis awal pagi ini menahan empat aktivis dan merampas beberapa CD dan VCD yang didakwa mempunyai unsur hasutan kepunyaan TV Sarawak Bebas dan Radio Free Sarawak, di Kuching dan Miri.
Setiausaha Persatuan Dayak Iban Sarawak (Sadia) Nicholas Mujah dan peguam serta aktivis Abun Sui Anyit adalah antara mereka yang ditahan.
Kenyataan kedua-dua mereka dirakam oleh polis. Dua lagi yang ditahan polis di Kuching tanpa kenyataan mereka dirakamkan adalah aktivis sosial Ong Boon Keong dan pekerja Sadia, Nikodemus Singgai.
Enam anggota Kementerian dalam Negeri dan sekumpulan polis dari Cawangan Khas menyerbu pejabat Sadia dan mengelidahnya serta merampas 1,200 keping CD dan VCD selepas tengah malam semalam. Turut dirampas adalah dua mesin membuat salinan cakera berkenaan dan beberapa risalah promosi.
Mujah, Singgai dan Ong kemudian dibawa ke balai polis Satok di Kuching.
Beberapa jam kemudian, Mujah dipindahkan ke pejabat Kementerian Dalam Negeri di Kuching untuk disoal-siasat dan diberitahu dia disiasat mengikut Seksyen 6, Akta Penapisan Filem.
Meskipun tidak didakwa, Mujah dikehendaki kembali ke balai polis itu dalam masa sebulan. Ketiga-tiga mereka akhirnya pulang ke rumah masing-masing sekitar jam 5.30 pagi ini.
Sementara itu di Miri, Anyit ditahan sekumpulan polis di lapangan terbang Miri sekitar jam 8.30 malam apabila beliau tiba dari Kuching.
Beliau dilaporkan membawa 200 CD dan VCD yang sama ketika ditahan dan dimaklumkan bahawa bahan berkenaan berunsur hasutan.
Anyit kemudian dibawa ke balai polis Miri dan kenyataannya dirakamkan. Beliau diberitahau bahawa dia disiasat mengikut seksyen 4(1) Akta Hasutan dan akan dihadapkan ke mahkamah hari ini.