Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Parti Progresif Penduduk (PPP) tidak bersetuju dengan cadangan sebuah gabungan NGO masyarakat India untuk membakar novel Interlok sekiranya kerajaan tidak menarik balik novel itu sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

ppp interlok chandrakumanan 060111 "Kita jangan buat, jangan terlibat...Kita bekerjasama dengan semua NGO dan kerajaan untuk membuat sesuatu yang memberi faedah rakyat," kata Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan Datuk A Chandrakumanan.

"Kita duduk berbincang dan kita yakin perkara ini dapat diselesaikan. Oleh kerana kita sebahagian daripada parti komponen, saya rasa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) akan mendengar perkara ini," katanya.

Beliau berkata, , pihaknya memberi peluang kepada kabinet dan menghormati arahan perdana menteri yang meminta supaya menunggu keputusan kabinet mengenai perkara itu.

"Saya tidak mahu mendahului apa-apa keputusan (seperti) pergi ke (DUN) Tenang dan bakar buku itu," katanya.

Chandrakumanan diminta mengulas cadangan Gabungan NGO India Malaysia kelmarin untuk  membakar novel karangan sasterawan negara Datuk Abdullah Hussain itu sekiranya tidak ditarik balik daripada menjadi sebahagian daripada teks sastera SPM.

Pengerusi Gabungan NGO India Malaysia Datuk A Vaithilingam dilaporkan berkata tindakan itu akan diambil sebagai satu simbolik kepada rasa tidak puas hati mereka berhubung isu berkenaan dan memberi tempoh seminggu kepada kerajaan untuk berbuat demikian.

Novel tersebut didakwa memberikan gambaran yang salah mengenai masyarakat India, terutama tentang sistem kasta dan penggunaan istilah "pariah".

Ekoran itu, beberapa NGO India antaranya Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) mengancam untuk membawa isu itu ke pilihan raya kecil DUN Tenang  dan bercadang meletak calon bebas bertanding di situ.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS