Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Apabila saya menyebut perkataan pariah dalam tajuk yang dikemukakan dalam ulasan saya, mungkin ada yang berpendapat saya sedang menghina masyarakat India.

Sekirannya ada yang berpendapat sedemikian maka saya merasakan golongan ini adalah golongan yang berfikiran sempit.

Hal ini disebabkan perkataan paria pada zaman ini sudah secara tidak langsung menjadi perkataan yang melambangkan seseorang yang berkelakuan negatif dalam konteks pemikiran dunia komuniti kita.

Keadaan ini juga menandakan sesiapa sahaja tidak kira India, Cina, Melayu dan apa sahaja agama dan warna kulit sekirannya seseorang individu berkelakuan negatif maka perkataan Pariah dalam konteks masyarakat kita mempercayai individu tersebut adalah paria.

Realitinya, maksud literal paria dalam semua kamus bahasa Inggeris bermaksud gelaran salah satu kasta dalam masyarakat India.

Perlambangan dalam masyarakat Melayu pula ada Melayu Minangkabau  Melayu Jawa, Melayu Bugis dan sebagainya. Dalam konteks masyarakat Cina pula ada Cina Hokkien, Cina Kantonis, Cina Hakka, Cina Teochew dan sebagainya.

Natijahnya, saya tidak melihat apa isu dan masalah yang cuba dimainkan oleh segelintir pihak dalam menentang penggunaan novel Interlok hanya disebabkan penggunaan perkataan paria semata-mata.

Lebih-lebih lagi perkataan ini sememangnya wujud dalam kamus bahasa Inggeris seluruh dunia. Adakah semua kamus tersebut juga patut dihalang penerbitannya?

Berdegil

Gabungan NGO India Malaysia mengugut untuk membakar novel Interlok akan diambil sekiranya kerajaan tetap berdegil untuk tidak menarik balik ketetapan menjadikan buku tersebut sebagai teks komponen sastera untuk pelajar sekolah.

azlan Ancaman sebegini adalah sama seperti ancaman hendak membakar Kitab Suci (Al-Quran, Injil dan Tripitaka). Ancaman ini lebih sensitif daripada pengunaan perkataan paria dan sistem kasta dalam novel Interlok. Demi bahasa , bangsa dan negara amalan membakar buku akademik adalah sesuatu tindakan yang sangat tidak rasional, matang dan jahil.

Pada masa yang sama sesetengah pihak hendak mempertahankan isu perpaduan di negara kita dan pada ketika itu jugalah mereka hendak membinasakan aspek ilmu dan pengetahuan dengan membakar hasil karya seorang sasterawan negara.

Golongan ini tidak ikhlas dan perjuangan mereka. Niat mereka hendak saya persoalkan kerana sekirannya ikhlas demi kebaikan mereka seharusnya mencari penyelesaian yang lain dalam berdepan dengan isu ini dan bukannya dengan membakar novel kita.

Bahasa jiwa bangsa

Bahasa itu jiwa bangsa. Ancaman membakar novel Interlok ibaratkan membakar jiwa semua individu yang mencintai bahasa Melayu tercinta kita. Sesuatu hasil karya adalah aset paling bernilai dalam sesuatu bahasa tersebut.

Jika hendak membakar ilmu dan pengetahuan dan juga aset bahasa Melayu kita, saya sarankan supaya bakar mayat saya dahulu kerana saya tidak sanggup melihat ilmu pengetahuan dan aset bahasa saya dibakar oleh golongan yang bersifat pariah dalam isu ini.

Menurut kumpulan NGO itu juga, "Anda perlu ingat, interpretasi yang diberikan di dalam buku ini tidak boleh diterima. Mungkin benar bahawa pekerja (dari India) dibawa untuk bekerja di sini, tapi anda tidak perlulah memanggil mereka dengan nama paria dan sebagainya.

Kenyataan ini hanya memaparkan kejahilan sudut pandangan sastera dan akademik individu tersebut. Bagaimana kita hendak mengukur interpretasi seseorang yang bersifat abstrak dalam isu ini?

Interpretasi seseorang individu adalah berbeza dengan individu yang lain. Oleh itu apakah interpretasi yang tidak boleh diterima di sini? Keadaan ini hanya berbeza sekirannya semua individu yang membaca novel ini memiliki interpretasi yang sama.

Kumpulan itu sekali lagi jahil apabila menyentuh tentang soal kebenaran dalam novel Interlok. Anda perlu ingat bahawa fakta sejarah dalam mata pelajaran sejarah adalah berbeza dengan fakta sejarah dan novel sejarah.

Tidak semesti benar

Definisi novel sendiri sudah memberi gambaran adalah sesuatu yang berbentuk fiksyen maka sesuatu itu tidak semestinya benar. Mungkin anda hendak menyatakan novel sejarah perlu tepat faktanya namun keadaan ini tidak semestinya berlaku kerana sesuatu novel adalah untuk mengindahkan lagi perjalanan plot sesuatu novel dan unsur-unsur imaginasi, kreativiti perlu bercampur dengan unsur sejarah. Kita tidak boleh menuntut kebenaran 100 peratus kerana sekirannya keadaan ini berlaku maka novel itu bukan lagi sesuatu novel.

Menurut kumpulan NGO itu lagi, "Novel ini ditulis berdasarkan maklumat sejarah jadi ia perlu tepat. Jika gambarannya salah, ia merupakan satu bencana intelektual.”

Kenyataan ini yang saya katakan sebagai tindakan paria dan hiprokrit. Jika benar demi perjuangan intelektual maka ancaman untuk mempolitikkan isu ini, berdemonstrasi dan lebih parah serta kronik apabila ancaman hendak membakar novel ini hanya melambangkan sesuatu yang membawa bencana besar kepada perkataan intelektual itu.

Menurut mereka juga, penulis novel berkenaan perlu menjalankan kajian mendalam sebelum ia diterbitkan untuk memahami latarbelakang sejarah yang berlaku ke atas masyarakat tersebut.

Pertama saya hendak sentuh tentang isu bahasa di sini yang saya anggap sebagai isu sensitif sebagai seorang pejuang bahasa. Perkataan ia tidak sepatutnya digunakan sebagai perkataan yang seolah-olah mengambarkan sesuatu barang.

Perkataan ia adalah singkatan dia yang merujuk kepada manusia. Kedua isu penghasilan sesuatu novel yang berada dalam kategori fiksyen soal imaginasi dan kreativiti jauh lebih penting daripada kajian.

Kumpulan berkenaan memberi contoh satu kertas berhubung satu kajian ke atas masyarakat India di kawasan bandar yang dijalankan antara tahun 1920 hingga 1940.

Paria tak disebut

"Perkataan paria langsung tidak disebut dalam kertas itu," kata seorang pemimpin kumpulan itu ketika menjelaskan bahawa kertas berkenaan telah menjelaskan bagaimana masyarakat India dari golongan pekerja berubah menjadi golongan nasionalis.

Kenyataan ini telah saya terangkan beberapa kali di atas bahawa perbandingan fakta subjek sejarah dan juga termasuk kertas kajian akademik adalah berbeza dengan novel adalah perbandingan bagai bumi dengan langit.

Kertas kerja adalah sesuatu yang berbentuk bukan fiksyen manakala novel pula merupakan sesuatu yang berbentuk fiksyen termasuk novel sejarah.

 

Dalam kertas kerja akademik sebenarnya sistem kasta dan paria boleh digunakan kerana hakikatnya perkataan dan juga situasi sistem kasta merupakan sejarah dan sesuatu yang benar-benar berlaku. Situasi ini bergantung kepada kebebasan dan pilihan seseorang penulis kertas kerja tersebut hendak menggunakannya atau tidak.

Buku seperti ini perlu menjadikan kita bangga dengan negara ini, bukan memecah-belahkan kita," tambahnya.

Sebab itu saya katakan bahawa individu yang berbeza memiliki dimensi pandangan dunia yang berbeza. Sesuatu hasil karya adalah sesuatu yang abstrak dan juga subjektif.

Pada pandangan saya buku ini memaparkan perjuangan rakyat Malaysia menentang penjajah dan bersatu meraikan hari Kemerdekaan tanpa mengira bangsa dan negara.

Yang bersifat perkauman dalam isu ini bukan hasil karya dan kandungan dalam novel tersebut tetapi mereka yang membesarkan isu ini demi kepentingan peribadi mereka. Jika hendak mempolitikkan sesuatu isu atau hendak memperjuangkan isu kaum sekali pun banyak lagi isu yang sepatutnya diperjuangkan terlebih dahulu.

Sebagai contohnya isu penghapusan kuil Hindu, isu lebih banyak peruntukkan untuk Sekolah Tamil, isu lebih banyak biasiswa untuk pelajar India dan pelbagai lagi isu yang sepatutnya diperjuangkan namun tidak diberi keutamaan berbanding isu sekecil ini.

Jangan sebab nila setitik rosak susu sebelangga.

Terbantut

Perkataan paria dan sistem kasta yang dicetuskan oleh pengarang hanya merupakan elemen kecil sahaja dalam konteks keseluruhan novel tersebut. Janganlah sempitkan permikiran kita semata-mata dan akhirnya meranapkan perkembangan sastera di negara kita.

Sesuatu hasil karya dan sastera tidak boleh ada had dan limitasi terhadapnya. Seseorang penulis mesti diberi kebebasan sepenuhnya untuk menzahirkan dunia permikiran mereka.

Perkembangan dan kualiti sastera dan seni di negara Malaysia akan terbantut kerana masyarakat kita yang selalu berfikiran sempit dengan menyatakan benda ini dan benda itu tidak boleh dan tidak sepatutnya dihasilkan.

Saya adalah pejuang bahasa Melayu yang menuntut kebebasan mutlak dalam segala karya yang sudah, sedang dan akan dihasilkan. Bahasa kita hanya dapat berkembang sekirannya kita bersifat terbuka dan tidak terlalu konservatif dalam isu yang berkaitan dengan sastera kita.

Jika saya sebagai anak Tiong Hua di sini hendak bermain isu politik maka saya akan menimbulkan isu bagaiamana pengarang cuba menghina Cina apabila terdapat watak Cina yang seoalah-olah mengeksplotasi golongan Melayu yang lemah, isu bagaimana Cina dan India adalah kaum pendatang dan isu bagaimana Cina dilabel sebagai komunis dalam novel Interlok.

Jika isu kandungan sebegini berada dalam subjek sejarah maka saya akan menentang dengan sepenuh hati saya namun semua ini adalah hasil karya sebuah novel semata-mata.

Saya rasional untuk membezakan antara fiksyen dan bukan fiksyen , antara sejarah dan novel sejarah, antara kebenaran dan kesusasteraan.

Buang yang keruh

Lagipun pepatah Melayu ada menyatakan buang yang keruh dan ambil yang jernih. Ada juga elemen penting dalam novel yang memaparkan bagaimana kaum India dan Melayu menolong Cina dalam novel Interlok.

Ada juga perjuangan semua bangsa menentang penjajah. Ada juga isu ketabahan seseorang individu menghadapi dugaan hidup. Ada juga kandungan bagaimana rakyat berbilang bangsa banggsa meraikan kemerdekaan negara.

Baik atau buruk sesuatu novel itu bergantung pada sudut dan dimensi pandangan seseorang individu dan bukannya kita untuk membuat konklusi kita sendiri.

Ketua penerangan Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) AP Raja Retinam berkata buku tersebut menentang semangat 1Malaysia dan perlu ditarik balik dari pasaran.

Buku inilah yang seiring dengan hasrat 1 Malaysia. Salah satu nilai dalam 1 Malaysia jika anda benar-benar mengkaji 3 teras dan 8 nilai 1 Malaysia maka anda akan mengetahui bahawa konsep penerimaan yang perlu kita terapkan dalam setiap rakyat Malaysia.

Tidak kiralah bangsa di negara ini siapa yang dahulunya pendatang kerana kini yang harus diutamakan adalah setiap individu harus menerima setiap rakyat yang berbangsa Malaysia sesama kita sendiri.

Sembunyi perkara negatif

Dalam mana-mana kesenian baik wayang, drama atau novel semestinya ada unsur negatif dan positif untuk menghiasi kesenian tersebut. Ada kalanya juga perkara negatif itulah yang memberi kesedaran kepada kesedaran positif kita.

Jika kita cuba hendak menyembunyikan semua perkara negatif dalam dunia ini maka manusia tidak ada ruang untuk belajar ke arah erti positif yang sebenar.

PRIMA mendakwa mereka kesal kerana buku itu memberikan gambaran tidak betul terhadap masyarakat India, terutama ke atas sistem kasta dan perkataan 'paria' yang digunakan.

Apakah perkataan paria itu tidak wujud dalam kamus? Apakah sistem kasta itu tidak pernah berlaku?

"Bagaimanapun, jika kabinet dan menteri pelajara Tan Sri Muhyiddin Yassin bertegas untuk tidak menilai semula isu buku Interlok ini, kita akan turun ke jalan bulan depan.” kata pemimpin kumpulan itu.

Apakah demonstrasi akan memajukan pelajar kita? Apakah demonstrasi akan menyatupadukan rakyat berbilang bangsa negara kita? Apakah demonstrasi merupakan jalan penyelesaian dan mekanisma terbaik dalam menyelesaikan isu ini?

Saya hendak tegaskan di sini bahawa isu ini bukan isu politik! Inilah adalah isu bahasa dan pendidikan negara kita yang tidak sepatutnya dirogol demi memenuhi nafsu sesetengah pihak semata-mata.

Bakar saya dulu

Demi bahasa tercinta saya sanggup dibakar terlebih dahulu sebelum novel ini dibakar!

Keadaan ini tidak menandakan saya menyokong apa yang ditulis oleh sasterawan negara kita. Saya hanya menyokong prinsip dan falsafah hasil karya itu perlu diberi kebebasan mutlak demi perkembangan bahasa dan kesusasteraan kita.

Bagi saya sesuatu karya yang baik dan tidak baik juga merupakan aset dan senjata yang mampu memajukan bangsa dan bahasa kita. Segala-galanya bergantung kepada bagaimana kita hendak menggunakannya.

Perlambangan bom nuklear dan dadah juga boleh menjadi perkara yang baik dan tidak baik. Yang tidak baik itu hanya wujud sekirannya berlakunya penyalahgunaan dalam kalangan masyarakat kita. Kebaikan bom nuklear adalah demi keselamatan dan sumber tenaga manakalah dadah pula sebagai ubat dalam dunia perubatan.

Yang tersilap guna itu adalah seperti sesetengah pihak yang memberi emosi dan reaksi yang tidak rasional sehingga matlamat asal bom nuklear dan dadah itu telah dinodai.

Timbul pula alasan lain yang mengatakan nanti wujudnya rakan-rakan sekolah yang akan mengejek masyarakat India paria hanya disebabkan perkataan ini disebut beberapa kali dalam keseluruhan ratusan ribu perkataan dan novel tersebut.

Salahkan ahli politik

Pertama sebelum kewujudan novel ini pun isu ini sudah lama berlaku. Kedua kalau isu ini berlaku sekali pun kita tidak seharusnya menyalahkan novel ini. Yang harus kita tunding jari adalah bagaimana kelakuaan ahli politik negara Malaysia yang dahagakan isu sensitf dan perkauman sebagai senjata mereka dan bagaimana golongan pendidik dan keluarga mendidik pelajar kita dan bagaimana masyarakat kita berkelakuan dalam kehidupan seharian mereka.

Novel ini tidak berdosa dan tidak seharusnya digantung mati hanya kerana pemikiran kolot dan paria sesetengah pihak. Tidak kiranlah golongan itu adalah Melayu, Cina, India atau sesiapa. Asalkan mereka yang tidak matang dan rasional maka mereka adalah paria dalam isu ini!

Dalam movel Pahlawan Pasir Salak orang Melayu yang mengkhianati negara digelar sebagai anjing penjajah tidak pun dijadikan isu.

Dalam drama Sabor tingkatan 4 yang menceritakan tentang isu nafsu seks seorang isteri Melayu yang curang terhadap suaminya juga tidak pernah menjadi isu.

Dalam novel Bukit Kepong bagaimana Cina dikatakan sebagai pengkhianat, zalim, pembunuh dan komunis juga tidak pernah menjadi isu sebelum ini. Mengapa kini hanya kerana satu perkataan kita hendak terus menghukum keseluruhan novel itu bersalah dan seharusnya digantung mati?

Bebas mengkritik

Jujur saya juga seorang ahli politik yang memperjuangkan kebebasan bersuara dan berpesatuan. Ahli politik dan NGO boleh bersuara dan mengemukakan rasa tidak puas hati anda.

Anda bebas untuk mengkritik sasterawan dan novel kita tetapi anda tidak berhak untuk membakar novel ini. Anda juga tidak seharusnya menggunakan mekanisme demonstrasi dalam menyelesaikan isu ini.

Ini adalah isu intelektual dan pendidikan. Gunakanlah perdebatan sihat, forum dan runding aman dan damai dalam mencari penyelesaian terlebih dahulu. Isu akademik kita selesaikan secara akademik.

Saya bukan sahaja sudi dibakar demi mempertahankan bahasa Melayu yang saya amat cintai malahan pada masa yang sama saya sudi berdiskusi dan berforum serta berdebat dengan sesiapa sahaja yang rasional dan matang dalam isu ini secara ilmiah dan akademik.

Sebentar tadi saya hanya mengemukakan sudut pandangan secara sastera dan akademik. Secara ekonomi pula buku ini sudah dicetak ratusan ribu yang menelan kos belanja yang amat besar.

Pembaziran sumber wang ini amat tidak bijak. Saya baharu sahaja kembali daripada India. Saya sedih melihat pengemis di sana yang akan berebut walaupun hanya untuk mendapatkan sebiji gula- gula.

Tahu atau tidak ratusan ribu wang yang digunakan untuk mencetak buku ini kepada semua pelajar Tingkatan 5 di seluruh Malaysia boleh kita derma jutaaan gula kepada masyarat orang miskin di bumi dan tempat yang tidak memiliki tuah seperti majoriti rakyat di negara kita. Banyak penerbit buku sudah pun menebitkan ulasan novel Interlok di negara kita.

Sudut pandangan sosial pula isu sekecil ini jika terus disensasikan akan lebih mengeruhkan perpaduan di negara kita sedangkan matlamat asal adalah demi perpaduan dan demi menjaga sentiviti kaum di negara kita.

Sudut pandangan pendidikan negara kita pula akhirnya guru sekolah, guru tuisyen dan juga pelajar Tingkatan 5 yang berdepan dengan peperiksaan tahun ini yang akhirnnya akan menjadi mangsa tidak kira Melayu, Cina, India atau apa bangsa sekalipun.

Peperiksaan mereka pada bulan November dan apabila isu ini berlanjutan tanpa penyelesaian maka pelajar tidak tahu novel apa yang sepatutnya mereka baca. Apabila tiba masanya penyelesaian sudah diputuskan maka sudah sedikit terlambat untuk guru membuat kajian dan pada masa yang sama untuk pelajar membuat persedian menghadapi peperiksaan SPM.

Akhirnya anak bangsa negara Malaysia kita pula yang berkorban hanya kerana beberapa kosa kata atau perbendaharaan kata dalam sesuatu novel itu diapi-apikan.

Akhir kata, demi bahasa Melayu anak Malaysia di sini sudi mempertahankannya sehingga ke akhir nafas saya!

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS