Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Penentangan terhadap novel Sasterawan Negara Abdullah Husain, Interlok oleh NGO tertentu melambangkan pemikiran dan prasangka perkauman lebih teruk di negara ini, dakwa sekumpulan sasterawan.

Presiden kumpulan itu - Seniman Paksi Rakyat Malaysia (PAKSI) - Che Shamsudin Othman berkata, masing-masing berfikir untuk kepentingan politik sendiri, bukan untuk kepentingan nasional.

dinsman artist and politics 220408 04 "Berbanding dengan dulu, pemikiran dan sikap prasangka perkauman kita lebih teruk. Isu yang ditimbulkan sekitar novel ini menjadi buktinya," katanya yang terkenal dengan nama pena Dinsman.

Kewajaran buku itu dijadikan teks sastera tingkatan lima hangat diperdebatkan selepas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T Murugiah pada 15 Disember lalu berkata, ia akan ditarik balik.

Tindakan itu terus mencetuskan debat apabila beberapa NGO India seperti Yayasan Tamil, Persekutuan Pertubuhan India Malaysia (PRIMA) dan Kumpulan Sasterawan Kavyan berkongsi pendapat itu, malah terdapat cadangan untuk mengeditnya, berdemonstrasi, membakar Interlok dan 'turun' di DUN Tenang.

Manakala, NGO penulis dan Melayu pula, seperti Persatuan Penulis Nasional (PENA), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) pula tetap menafikan adikarya Abdullah itu sebagai "sensitif"

Dalam sidang media di pejabat Persatuan Penulis Nasional (PENA) hari ini, Che Shamsudin mempersoalkan kenapa terdapat pihak yang baru tersinggung sedangkan novel itu sudah beredar lebih 40 tahun dalam pasaran.

"Dulu tak apa-apa. Tak ada pembaca yang tersinggung, baik India, Melayu mahu pun Cina; sedangkan kalau nak difikir secara prasangka perkauman, dulu lagi isu ini boleh timbul," katanya sinis.

Stereotaip Melayu dan Cina juga

Malah, menurut Che Shamsudin, kandungan novel yang ditulis pada tahun 1967 itu "cukup baik" bagi menceritakan zaman pramerdeka dan bagi memahami asal-usul terbentuknya masyarakat Malaysia seperti komposisi hari ini.

"Jika dilihat pada pengenalan di kulit belakangnya juga, disebut 'novel ini berkemampuan untuk mengajar murid tentang erti penyatuan dan perpaduan seperti konsep 1Malaysia'," kata Che Shamsudin.

NONE Beliau juga mempersoalkan kenapa satu kaum sahaja yang mesti terasa sedangkan novel itu turut menceritakan stereotaip Melayu yang bodoh dan malas dan watak Cina yang hendak menjual anak perempuan ketika zaman perang dunia pertama.

Hadir sama dalam sidang media itu, pengasas portal sastera siber eSastera Prof Dr Ir Wan Abu Bakar, Pengerusi Kesatuan Pekerja-pekerja Dewan Bahasa Pustaka Hasni Abas serta penulis terkenal Razali Endon dan Kassim Muhammad.

Mengenai penggunaan perkataan "paria", Hasni pula berkata, ia tidak melambangkan keseluruhan cerita, bahkan cuma digunakan sekali sahaja.

Selepas membaca kembali perenggan di halaman 211 itu, Hasni kembali menyoal kepada pemberita:

"Adakah saudara-saudari semua terasa?

"Hanya ini sahaja perenggannya (yang guna perkataan paria)," kata Hasni yang juga antara penggerak utama kempen menentang dasar Pengajian dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sebelum ini.

Perenggan itu menceritakan bagaimana sekumpulan penumpang India dalam dek kapal daripada Nagapatan ke Pulau Pinang pada tahun 1910 berasa senang bergaul kerana semuanya tahu berbahasa Tamil dan tergolong dalam satu kasta paria.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS