Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Pertemuan dengan Agong, Najib tiada kaitan politik'
Diterbitkan:  Jan 4, 2011 3:09 PM
Dikemaskini: 7:49 AM

Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Terengganu, Kuala Lumpur, baru-baru ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, tiada kaitan dengan isu politik.

NONE Nik Aziz membuat penjelasan itu dalam satu sidang akhbar di Kota Bharu yang turut dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, lapor Bernama.

Harakahdaily pula memetik Nik Aziz  menyeru semua pihak sama ada media atau invidu supaya tidak mengaitkan istana dengan pergolakan politik negara.

Pada masa yang sama juga, beliau turut mengingatkan orang ramai tidak membuat sebarang andaian berhubung pertemuannya dengan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan baru-baru ini.

Ini kerana, katanya  pertemuan itu hanyalah jemputan untuk majlis santapan malam bersama baginda sahaja.

Menurutnya, sebarang kenyataan tidak tepat itu perlu dihentikan segera demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.

“Jangan sekali-kali mengaitkan istana dalam pertemuan baru-baru ini,”ujarnya dalam sidang akhbar tersebut.

Abdul Hadi pula berkata walaupun majlis itu turut dihadiri pemimpin lain termasuk Najib tetapi mereka tidak membincangkan langsung soal-soal politik.

    

"Tidak ada perjumpaan lain, selain majlis santapan malam itu," katanya.

Harakahdaily melaporkan Hadi sebagai berkata tidak timbul soal perbincangan kerajaan perpaduan atau sebagainya dalam pertemuan itu.

Menjawab soalan media beliau seterusnya berkata, majlis itu adalah undangan Yang di-Pertuan Agong, tidak timbul langsung soal perbincangan dengan pemimpin Umno.

“Majlis tu adalah majlis Yang di-Pertuan Agong, nak bincang dengan perdana menteri macamana?,”soalnya.

najib pc 091210 01 Kenyataan itu dibuat bagi menjawab pelbagai spekulasi ekoran pertemuan pemimpin tertinggi dua parti - Nik Aziz dan Hadi Awang - yang dikatakan mengadakan pertemuan tertutup dengan dua pemimpin Umno - Najib dan timbalannya - baru-baru ini.

Sementara itu, dalam satu kenyataannya, Nik Aziz berkata beliau dikunjungi bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang membawa titah Yang di-Pertuan Agong meminta beliau dan beberapa pemimpin menghadiri majlis santapan malam di Istana Terengganu.

Menurutnya, atas dasar menghormati dan menjunjung titah Seri Paduka, beliau menghadiri majlis tersebut.

    

Nik Aziz menyeru media atau mana-mana individu supaya tidak membuat andaian yang tidak menentu dan menghentikan seberang kenyataan yang tidak tepat demi menjaga kehormatan dan nama baik pihak istana.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS