PKR bersyukur dan menjunjung kasih setingginya kepada Sultan Selangor yang memperkenan menyerahkan kembali urusan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kepada kebijaksanaan menteri besar untuk mencari penyelesaian terbaik dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA).
"Baginda memberikan perkenan ini selepas menyatakan pandangan bahawa baginda tidak lagi mempunyai kuasa untuk menerima atau menolak pelantikan SUK kerana kuasa tersebut ditarik daripada baginda oleh Umno ketika krisis Perlembagaan pada 1993," kata penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.
Baginda memberitahu demikian dalam perjumpaan dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Istana Mestika, Shah Alam semalam.
Dr Muhammad Nur berkata, PKR juga menyokong penuh tindakan menteri besar memanggil sidang tergempar DUN bagi meminda undang-undang tubuh negeri bagi mengembalikan kuasa melantik tiga pegawai eksekutif - SUK, Pegawai Kewangan dan Penasihat Undang-Undang - kepada sultan dan menteri besar.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata PKR yakin ia adalah satu langkah konkrit untuk mengangkat kembali martabat institusi raja berperlembagaan sebagaimana yang diputuskan sebagai Dasar Bersama Pakatan Rakyat.
"Hakikatnya, kuasa pelantikan para pegawai yang dinyatakan di atas telahpun dihapuskan oleh Umno dalam pindaan perlembagaan yang dilakukan secara paksa pada 1983 dan 1993 meskipun ditolak oleh Majlis Raja-Raja Melayu ketika itu.
"Sesungguhnya, kemelut yang baru sahaja dilalui adalah gambaran jelas kegelojohan pihak Umno dan kuncunya untuk menggugat kedudukan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor dan percubaan mengulangi semula tragedi rampasan kuasa Kerajaan Negeri Perak pada 2008," tegasnya.
Dr Muhammad Nur berkata, krisis itu juga membuktikan, demi meraih kuasa politik, Umno bersedia melakukan apa sahaja meskipun dengan
mengorbankan keluhuran perlembagaan dan undang-undang.
"Adalah jelas kepada kita bahawa Umno sedang dalam keadaan terhimpit dan menyedari hakikat bahawa mereka semakin hilang kepercayaan dari rakyat Malaysia seluruhnya," tambahnya.
Lantaran itu, katanya, demi mengekalkan kuasa, mereka sedia mempergunakan apa jua slogan ‘1Malaysia’, ‘Ketuanan Melayu’, ‘Kedaulatan Raja-Raja’ dan sebagainya.
Sehubungan itu, katanya. PKR ingin menjelaskan kembali komitmennya untuk terus menegakkan keadilan berasaskan keluhuran perlembagaaan dan undang-undang negara yang ada dan memperjuangkan kepentingan semua rakyat Malaysia umumnya.