Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Azam' NUJ: Tindakan tegas pada pengarang Utusan
Diterbitkan:  Jan 2, 2011 1:24 PM
Dikemaskini: 6:17 AM

Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) memulakan tahun baru 2011 dengan lebih garang dengan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengarang dan ketua pengarang Utusan Malaysia kerana didakwa cuba mencetuskan beberapa isu perkauman.

"Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia menunjukkan mereka juga terlibat dalam agenda untuk mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini oleh sebuah akhbar yang boleh dianggap sebagai akhbar rasis dan tidak bermaruah," kata presidennya Hata Wahari.

Dalam satu kenyataan, Hata juga mendakwa, Utusan yang pernah edarannya mencapai 350,000 sehari kini hanya menjadi alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan kaum di negara ini.

Sementara itu, Hata yang juga wartawan kanan di akhbar milik Umno itu berharap pada tahun ini kebebasan media yang sebenar dapat dinikmati bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang benar dan seimbang.

"Kesatuan juga meminta pengarang-pengarang di media perdana terutama Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star agar kembali kepada fungsi dan matlamat  sebenar media iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai  alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi," katanya.

Kejatuhan edaran akhbar media perdana seperti yang di umumkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC), tambahnya, jelas membuktikan bahawa orang ramai terlalu muak dengan isi yang  disajikan dalamnya yang didakwa bukan sahaja tidak membina minda tetapi penuh dengan propaganda buruk.

Sehungan itu, Hata berkata, akhbar-akhbar itu boleh dikategorikan sebagai "akhbar murahan" dan tidak mempunyai harga diri serta maruah kerana "para pengarang mengenepikan serta menguburkan nilai-nilai murni tujuan asal akhbar itu diterbitkan".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS