Konsert kumpulan terkenal Indonesia Wali Band yang dibantah Pemuda Umno Kelantan tidak melanggar Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 negeri, sama seperti yang dikenakan terhadap aktiviti lain, seperti Jom Heboh anjuran TV3 suatu ketika dahulu.
Sehubungan itu, menurut Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan, perkara itu merupakan pendirian kerajaan Kelantan sejak dasar
Membangun Bersama Islam diperkenal dan tidak "timbul soal mengubah pendirian untuk menarik golongan muda".
"Dalam enakmen kawalan hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998, sudah disenaraikan bentuk-bentuk larangan yang dikenakan terhadap semua aktiviti persembahan hiburan di Kelantan dan persembahan konsert Wali Band tidak langsung melanggar enakmen tersebut.
"Manakala penganjur konsert, Anjung Tulus Corporation Sdn Bhd telah diberikan syarat agar memastikan tidak berlakunya percampuran di antara penonton lelaki dan perempuan bukan mahram sepanjang persembahan berlangsung," kata ketua penerangannya Ahmad Fadhli Shaari.
Kelmarin Pergerakan Pemuda Umno Kelantan mempersoal kewajaran kerajaan Kelantan membenarkan Wali Band mengadakan persembahannya, yang didakwa semata-mata bermotifkan politik.
Ketuanya Anuar Safian dilaporkan berkata memang menghairankan Kelantan yang dahulunya langsung tidak membenarkan konsert seumpama itu diadakan, tetapi kini demi mendapat sokongan golongan muda, parti itu sanggup melakukan apa sahaja.
Dalam satu kenyataan, Ahmad Fadhli yang juga setiausaha kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Aziz Nik Mat juga berkata, sebarang kelemahan dalam penguatkuasaan enakmen itu tidak sama sekali boleh menafikan hasrat positif yang terkandung dalamnya.
"Pemuda PAS Kelantan ingin menasihatkan Pemuda Umno Kelantan, khususnya ketuanya sendiri agar membaca dan memahami dahulu Enakmen Kawalan Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1998 sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang hanya menampakkan kedangkalan semata-mata," kata Ahmad Fadhli lagi.