Misteri kehilangan seorang pengusaha baik pulih penghawa dingin sejak 7 November lepas terjawab apabila beberapa anggota badannya termasuk tengkorak dan lengan ditemui dalam kolam kumbahan di Taman Pasir Mas, Sungai Chua di Kajang pagi ini.
Menurut polis mayat Liew Kuan Mang, 29, ditemui pagi ini berikutan penemuan bahagian badan dari paras pinggang lelaki itu hingga paras buku lali oleh pekerja-pekerja Indah Water yang sedang melakukan rondaan dan pembersihan kolam kumbahan itu pukul kira-kira pukul 2.30 petang semalam.
"Pekerja yang menemui telefon bimbit, dompet berisi wang dan kad pengenalan lelaki itu di dalam poket seluarnya, terus membuat laporan kepada polis, sebelum gerakan mencari anggota badan lain mangsa diteruskan pagi ini," kata satu sumber kepada Bernama hari ini.
Kehilangan Kuan Mang sejak bulan lepas pernah dilaporkan oleh bapanya, LiewTin Soon, 66, kepada Pengerusi Biro Aduan Awam MCA Datuk Michael Chong.
Michael Chong sebelum ini mendedahkan Kuan Mang yang belum berkahwin, hilang selepas memasuki tandas sebuah restoran berdekatan rumahnya di Kajang selepas pulang dari kelab malam berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC) bersama sama rakan-rakannya, kira-kira pukul 2 pagi.
Michael Chong berkata sebelum itu Kuan Mang bersama rakan-rakannya dikatakan bergaduh dengan seorang 'bouncer' kelab malam berkenaan, dan tiga rakannya yang terbabit dengan pergaduhan pada malam itu cedera dan menerima rawatan di sebuah hospital berdekatan.
Sementara itu, bapa Kuan Mang yang ditemui berhampiran dengan kolam kumbahan itu enggan ditemuramah.
Tinjauan Bernama mendapati gerakan mencari anggota badan lain masih giat dijalankan oleh kira-kira 20 anggota termasuk dari Bahagian Forensik Polis, Bomba dan Penyelamat serta Indah Water.
- Bernama