Pemimpin polular DAP Lim Kit Siang menyifatkan pelantikan Mohd Khusrin Munawi sebagai setiausaha kerajaan (SUK) negeri tanpa mendapat persetujuan daripada menteri besar sebagai mencabul semangat dan peruntukan dalam undang-undang tubuh negeri.
Lim ( kiri ) yang juga ahli parlimen Ipoh Timur berkata, hujah yang mengatakan bahawa persetujuan Tan Sri Khalid Ibrahim tidak diperlukan dalam pelantikan itu adalah dangkal dan tidak dapat diterima.
"Putrajaya tidak patut melibatkan Sultan dalam pelantikan SUK kerana undang-undang tubuh negeri juga tidak menyebut Sultan mesti dimaklumkan dahulu dan perkenan Baginda diperlukan," kata Lim.
"(Amalan) konvensyen dalam undang-undang tubuh seakan membawa maksud, rundingan dengan menteri besar, dan lantikan Sultan untuk jawatan tinggi dibuat untuk mengukuhkan integriti undang-undang tubuh negeri dan bagi menggalas mandat orang ramai yang diberikan kepada Pakatan Rakyat."
Pandangan itu dilihat senada dengan pendirian peguam Derek Fernandez kepada Malaysiakini semalam bahawa menurut amalan konvensyen, menteri besar patut dimaklumkan terlebih dahulu.
Isnin lalu, nama Khusrin diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Sidek Hassan menggantikan Ramli Mahmud.
Tindakan itu mendapat respons negatif daripada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor yang telah menyenaraipendek tiga nama - tidak termasuk Khusrin - dan berpendapat 'lantikan' itu tidak muktamad.
Menurut Lim, walaupun undang-undang tubuh Selangor tidak menyebut tentang peranan menteri besar dalam pelantikan SUK, ia juga tidak menyatakan peranan Sultan dalam hal yang sama.