Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Gobalakrishnan: Anwar pilih kasih
Diterbitkan:  Dec 28, 2010 1:25 PM
Dikemaskini: 10:01 AM

Pergeseran di antara ahli parlimen Padang Serai N Gobalakrishnan dan pemimpin tertinggi PKR semakin memuncak dan beliau kini tidak lagi berselindung dalam menamakan ketua umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca sebenar ketidakadilan yang didakwa berlaku di dalam parti itu.

NONE Gobalakrishnan berkata demikian ketika menjawab amaran keras yang dikeluarkan N Surendran, naib presiden baru parti itu yang mahu beliau menghentikan segala serangan tidak berasas kepada parti pada kadar segera.

Ingkar dengan arahan tersebut, Gobalakrishnan hari ini menuntut supaya Anwar dikenakan tindakan disiplin kerana didakwa telah menutup sebuah kuil di Bukit Gasing, Petaling Jaya.

Gobalakrishnan mendakwa, Anwar bertindak demikian dengan alasan kuil tersebut "tidak mempunyai ciri-ciri India."

"Masalah ini wujud ketika pentadbiran BN di Selangor tetapi mereka tidak bertindak sehingga menutup kuil berkenaan," katanya lagi dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar amal 'pecah dan perintah'

Tambahnya, Anwar juga telah memperkuatkan kepemimpinan Melayu dan Cina di dalam PKR tetapi masyarakat India diabaikan dan jauh diketepikan sejak 12 tahun lalu.

NONE "Hanya orang yang dekat dengan (Anwar) dilantik ke jawatan parti. Seharusnya pertimbangan diberikan kepada masyarakat India dalam parti kerana mereka membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah ahli.

"Ini merupakan amalan pecah dan perintah yang jelas daripada Anwar," kata Gobalakrishnan lagi yang merupakan salah seorang calon naib presiden yang tewas dalam pemilihan parti bulan lalu.

Jelasnya, beliau berkata demikian kerana telah tiba masanya untuk menjelaskan "ketidakadilan" yang didakwa berlaku.

Gobalakrishnan yang menganggotai parti itu sejak lebih 11 tahun lalu juga berkata, beliau telah banyak berkorban untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan beliau tidak mendapat keuntungan peribadi daripada usahanya itu.

'Surendran bukan ahli PKR'

Beliau bagaimanapun tidak dilantik ke jawatan naib presiden pada 18 Disember selepas pemilihan parti berakhir. Sebaliknya, jawatan lantikan bagi kuota masyarakat India itu diisi oleh Surendran.

NONE "Surendran telah menyatakan bahawa PKR merupakan parti yang demokratik dan tetapi saya kini sedar bahawa demokrasi hanya diamalkan secara pilih kasih di dalam parti yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata Gobalakrishnan lagi.

Gobalakrishnan juga berkata, beliau ingin tahu bagaimana Surendran boleh dilantik ke jawatan itu sedangkan peguam hak asasi itu tidak menganggotai PKR.

"Saya mempertikaikan integritinya apabila dia bercakap mengenai pemilihan PKR. Dia tidak mengundi di (mana-mana) cabang dan dia tidak menganggotai mana-mana mesyuarat agung tahunan cabang (MATC).

"Namanya tidak kelihatan di dalam senarai pengundi cabang Lembah Pantai di mana beliau mendakwa menjadi anggota di situ, atau mana-mana cabang (PKR) di negara ini," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS