Ibarat pucuk dicita ulam mendatang, Model Baru Politik (MBP) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Presiden Umno baru-baru ini, tiba pada tepat pada masanya demi survival parti dan agenda perjuangannya.
Umno, katanya, perlu berubah supaya lebih terbuka dan inklusif, dan model baru politik ini menjadi wadah bagi perubahan yang diperlukan serta diperincikan supaya dapat diamal oleh semua anggota parti.
Model berkenaan yang membawa tema "Umno Dahulukan Rakyat" mengutamakan kepentingan rakyat dalam perjuangan Umno, sekali gus menolak 'lagu-lagu lama' seperti 'politik pembangunan' yang dilihat sudah kurang menarik kepada rakyat.
Pinda perlembagaan
Langkah pertama sudahpun dilaksanakan iaitu meminda perlembagaan parti supaya tidak hanya sebahagian anggota yang berkuasa membuat pilihan kepimpinan parti, tetapi keanggotaan yang lebih besar boleh memilih pemimpin mereka.
Pindaan yang dibuat kini membolehkan lebih 400,000 anggota layak memilih Presiden, Timbalan Presiden, tiga Naib Presiden serta anggota Majlis Tertinggi berbanding hanya 2,500 anggota perwakilan ke Persidangan Agung Umno sebelum ini.
Najib pernah berkata Umno harus berubah mengikut peredaran masa dan zaman kerana masyarakat sekarang menolak parti yang sudah berjasa kepada mereka kerana mereka melihat parti berkenaan masih dengan keadaan lama, tidak dinamik dan kaku.
Untuk memastikan Umno 'tak lapuk dek panas dan tak lekang dek hujan', Najib yang serius mahu melakukan perubahan pada parti, juga menggariskan beberapa langkah menanganinya seperti yang dinyatakan dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2010 Oktober lalu.
Pemulihan itu harus melalui tiga fasa, iaitu memperakui kelemahan dan masalah, bermuhasabah dan mencari penawar mustajab, serta memulakan gerak kerja.
Tujuh perkara pula telah digariskannya, iaitu meletakkan parti lebih tinggi daripada peribadi, memperkuatkan pasukan bukannya kumpulan, memenangi hati rakyat, menjuarai media baru, sasar pengundi muda, sifar masalah dalaman dan mendahulukan rakyat.
Transformasi manusia tidak mudah
Perubahan-perubahan yang dilakukan bukan setakat menjadikan anggota Umno sebagai sasaran malah rakyat secara keseluruhannya, selaras dengan kedudukan Umno sebagai parti tunjang pemerintahan negara.
Apapun perubahan atau model yang mahu diterapkan, ia tidak akan mengubah matlamat perjuangan Umno yang asal.
Namun Najib sedar, transformasi manusia bukannya semudah transformasi fizikal kerana ia mencabar, memakan masa selain memerlukan respon dan penghayatan yang secukupnya.
"Tapi (kita) jangan kecewa sebab kita berurusan dengan manusia, dan manusia, tentu sekali amat mencabar untuk melakukan perubahan besar dalam masa yang singkat," katanya.
Selain MBP, Umno juga mencatat detik manis apabila berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas pada pilihan raya kecil pada 4 Nov lalu. Calon Barisan Nasional dari Umno, Abdul Aziz Yusoff menang dengan majoriti 1,190 undi, mengalahkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed.
Walaupun pelbagai pihak menyatakan bahawa kemenangan itu memberi petanda sokongan sudah kembali kepada Umno/Barisan Nasional, dua tokoh politik veteran, Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr Mahathir Mohamad, mempunyai pandangan berbeza terhadap keputusan berkenaan.
Tidak boleh selesa
Rumusannya, kemungkinan strategi yang digunakan oleh Tengku Razaleigh selaku pengarah jentera pilihan raya kecil itu, bersesuaian dengan kehendak di kawasan itu dan keputusan mungkin berbeza sekiranya pilihan raya kecil itu diadakan di tempat lain.
Apapun, Umno mesti mengambil perhatian bahawa ia tidak boleh berasa selesa dengan kemenangan itu dan harus sentiasa bekerja keras supaya perpaduan di peringkat akar umbi kekal mantap seperti yang diingatkan berkali-kali oleh presiden parti terutamanya untuk menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
Ada pemerhati politik yang mengatakan Najib akan memberi perhatian kepada kerajaan pada tahun pertama pimpinannya dan hanya memberi perhatian kepada politik parti pada tahun kedua di tampuk pemerintahan dan ini terbukti benar.
Umno juga mengorak langkah memberikan nafas baru dengan membawa masuk 40 ulama muda, termasuk seorang anak bekas mufti negeri menyertainya, dengan objektif menyebarluaskan dakwah Islam dalam parti dan negara.
Terdapat juga perubahan besar yang akan dilakukan terhadap kepimpinan Umno negeri untuk memperkuat dan memantapkan parti.
Berkecai tulang
Apa yang dijangkakan perubahan itu membabitkan pengerusi perhubungan negeri-negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Selangor, Wilayah Persekutuan selain Terengganu yang kini diketuai sama ada oleh presiden, timbalan presiden dan tiga orang naib presiden.
Semua ini tidak lain tidak bukan bagi mempertahankan Putrajaya daripada dirampas pembangkang yang dianggap sebagai 'saudagar mimpi'.
"Walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa. Saudara dan saudari, walau apa pun yang terjadi, Putrajaya mesti kita pertahankan," kata Najib kepada perwakilan Umno.
Mesej terpentingnya ialah orang Melayu perlu memahami risiko iaitu berhadapan dengan kemungkinan kehilangan kuasa jika kelemahan tidak diakui, penawar politik tidak dicari dan usaha ke arah mempertahankan kuasa, gagal.
Dalam perjuangan juga Umno perlu serius dengan isu pengundi, kerana sebagai contoh, jumlah pengundi yang berjaya didaftarkan melalui jentera Umno di Johor, misalnya, hanya 13,125 orang.
Dicampur jumlah pengundi yang didaftarkan oleh parti komponen BN lain, bilangan pengundi baru yang didaftarkan oleh BN di Johor hanya 14,768 orang, sedangkan pembangkang mendaftarkan 18,129 orang.
Tarikh pilihan raya
Malaysia sudah melepasi separuh usia Parlimen selepas pilihan raya umum 2008, jadi masa semakin suntuk dan oleh yang demikian Umno dan BN perlu bersedia dan tidak lagi boleh bertangguh-tangguh lagi dalam memperkuatkan 'barisan'.
Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin akan melawat negeri-negeri untuk berjumpa dengan ahli-ahli Umno dan rakyat.
Apabila perkara ini diutarakan, pemerhati dan penganalisis politik dan juga media tertanya-tanya adakah pilihan raya umum semakin dekat, sedangkan tempoh mandat BN sekarang hanya tamat pada 2013.
Tambahan pula pemilihan Umno bagi peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi yang dijadual diadakan pada tahun depan ditangguhkan selama 18 bulan bagi membolehkan Umno memberi tumpuan kepada proses pemantapan dan pemulihan parti berdasarkan MBP.
Apapun, sama ada pilihan raya diadakan dalam masa terdekat atau tidak, Umno tidak perlu menunggu 2011 untuk memantapkan parti dengan senjata baru diperkenalkan oleh presidennya -- MBP.
- Bernama