Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr Asri: Berdialog dengan Syiah, jangan keras kepala

Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin berpandangan perlunya mendengar hujah pengikut Syiah kerana menurutnya, "menghukum tanpa mendengar hujah orang lain adalah tidak adil dan dianggap keras kepala".

"Apapun, hari ini Syiah telah wujud. Mereka adalah warisan sejarah silam. Tangisan dan amarah yang tidak berkesudahan. Hanya atas cerita lama, mereka meriwayatkan sengsara. Soal sejauh manakah ketulenan cerita bukan lagi persoalan," tulis beliau dalam blognya hari ini.

asri jais record statment colum upacara telan air ludah ustaz 100410 pc "Namun bagi kita, sikap yang adil adalah berdialog dengan mereka. Mereka umat Islam dan ada kelebihan tersendiri. Mereka mazhab yang lahir dari isu politik, maka mereka sangat mahir berpolitik.

"Bagi kita, menghukum tanpa berhujah adalah sikap yang tidak adil. Berhujah tanpa sudi mendengar hujah orang lain, adalah keras kepala. Ahlus Sunnah sederhana dalam segala hal," tegasnya.

Sebelum ini, Dr Mohd Asri mengulas mengenai penangkapan beramai-ramai pengikut Syiah di Gombak oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) baru-baru ini yang dibimbanginya akan menimbulkan ketegangan dan unsur-unsur keganasan di dalam negara.

Setakat ini, dua daripada mereka telah didakwa di mahkamah rendah Syariah di Kuang manakala yang lainnya selesai diminta memberi keterangan dan dijangka didakwa Mac tahun depan.

NONE Dalam tulisannya hari ini, Dr Mohd Asri menegaskan golongan 'Ahlus Sunnah' mengambil pendirian yang berbeza dalam isu sejarah.

Katanya, timbulnya mazhab Syiah ekoran berlakunya pertelingkahan antara sahabat Nabi Muhammad SAW.

Sehubungan itu, beliau memetik pandangan ulama Ibn Taimiyyah sebagai berkata Ahlus Sunnah wal Jamaah mengambil sikap "mendiamkan diri tentang pertelingkahan antara para sahabat dan berlepas diri daripada sikap kumpulan yang membenci dan mencerca para sahabat menyakiti Ahl al-Bayt (keluarga Rasulullah SAW)".

Katanya, beliau telah menjelaskan mengenai sejarah dan sebab kemunculan mazhab tersebut secara terperinci di dalam bukunya "Pertelingkahan Para Sahabat: Antara Ketulenen Fakta dan Pembohongan Sejarah".

Pada masa yang sama Dr Mohd Asri turut mempertahankan 'Ahlus Sunnah' yang menjadi sasaran 'kemarahan warisan' golongan Syiah kerana enggan berkongsi tafsiran politik berhubung isu pembunuhan Saidina Hussain yang merupakan cucu Rasullullah SAW.

"Isu pembunuhan Saidina Hussain yang sudah berlalu empat belas kurun yang lepas diwarisi secara dendam yang tidak berkesudahan. Ramai yang menjadi mangsa kemarahan itu.

"Dendam itu bukan sahaja terhadap mereka yang terlibat dalam krisis lampau tersebut, tetapi turut dibabitkan mereka yang selepas itu yang enggan berkongsi tafsiran politik yang sama. Maka, Ahlus Sunnah menjadi sasaran ‘kemarahan warisan’," coretnya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS