Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Walaupun ajaran Syiah difatwakan sesat di Selangor, warganegara asing yang menetap atau berkunjung di negara ini dibenarkan mengamalkan ajaran tersebut selagi tidak menyebarkannya kepada rakyat Malaysia.

NONE Ketua penolong pengarah bahagian pengurusan penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Mohamad Rais Rasid berkata pengecualian itu, terutama kepada pelancong luar diberikan kerana amalan itu merupakan mazhab mereka di negara asal masing-masing.

"JAIS tidak bimbang tentang kehadiran pelancong luar seperti Iran dan sebagainya. Sebabnya mereka (datang) melancong bukan tujuannya untuk mengembangkan agamanya atau Syiah.

"Yang kita tak benarkan mengembangkan (Syiah) bukannya (melarang) pelancongan," katanya.

Rabu lalu, antara 128 pengikut Syiah yang ditahan - dipercayai antara terbesar - di sebuah rumah kedai di Batu Caves, terdapat juga sebilangan kecil warga asing terlibat sama.

Menurut sumber, dua daripadanya dua daripadanya telah dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah Kuang pada 16 Disember lalu bawah Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 iaitu bertindak dengan cara yang menghina kuasa yang sah, atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan mufti.

Ketika diwawancara Malaysiakini di pejabatnya di Shah Alam semalam, Mohamad Rais berkata walaupun kemungkinan berlakunya pengembangan ajaran itu sesama mereka, ia hanya melibatkan jumlah yang kecil dan terhad.

"Kalau mereka (pelancong) buat pengembangan ajaran agama bukan secara keseluruhannya mungkin satu atau dua orang sahaja," jelasnya.

Tiada kompromi

NONE Menurutnya, sekiranya mereka ingin beramal, JAIS tidak pernah menghalang mereka walaupun di negara ini sudah difatwakan sebagai ajaran sesat.

"Tetapi jika digunakan untuk amalan dia (Syiah) sendiri dan mahzabnya kita tidak pernah mencarinya (untuk menahan mereka)," katanya.

Mohamad Rais berkata, golongan pelajar dan ahli perniagaan asing berfahaman Syiah juga tertakluk kepada syarat yang sama.

Ditanya sama ada besar-besaran penganut Syiah di Gombak minggu lalu yang mungkin menjejaskan hubungan diplomatik dengan sesebuah negara, seperti Iran yang berfahaman Syiah, Mohamad Rais menafikannya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan ajaran itu, Mohamad Rais menegaskan bahawa mereka tidak akan sesekali berkompromi dengan ajaran sesat kerana ia menjejaskan akidah, menyebabkan perpecahan dan kemungkinan besar bakal memudaratkan negara.

Malah, katanya, rata-ratanya rakyat di negara ini tahu kalau individu itu taksub kepada sesuatu ajaran yang menyimpang.

"Sebagai contoh, Jemaah Islamiah (JI), Al-Maunah, Ayah Pin (kerajaan langit) ini semua daripada ajaran sesat sama ada di fatwa atau tidak apabila pemimpin dan pengikutnya sudah taksub mereka akan bertindak ganas," katanya.

Setakat ini, kata Mohamad Rais lagi, pihaknya dapat mengawal dan mengekang ajaran sesat daripada tersebar.

"Sehingga kini, di Selangor masih lagi terkawal dengan JAIS kerap melakukan pemantauan daripada penguatkuasaan  serta melalui kakitangan pejabat agama di setiap daerah," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS