Tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, di Labis, Johor ditetapkan pada 30 Januari (Ahad) depan.
Manakala tarikh penamaan calon ditetapkan pada 22 Jan, (Sabtu) kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoff.
Keputusan itu dibuat selepas SPR bermesyuarat pagi ini, katanya dalam satu sidang akhbar di Putrajaya.
Menurut Abdul Aziz ( kanan ), seramai 14,753 pengundi yang melibat 14,735 pengundi biasa dan 18 pengundi pos, layak memilih ADUN Tenang.
Pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk (DPI) 2009 yang digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun ketiga tahun ini yang telah dikemaskini sehingga 17 Disember lalu.
Abdul Aziz berkata, sebanyak 376 petugas telah dilantik sepanjang lapan hari tempoh berkempen. Manakala seorang pengurus pilihan raya dan tiga penolongnya daripada Majlis Daerah Labis turut dilantik.
'Dengar nasihat, patuh arahan'
SPR menubuhkan tiga pasukan penguatkuas kempen pilihan raya untuk mengurus perjalanan pilihan raya dan mengawal kempen.
Pilihan raya itu juga akan menggunakan tiga dewan dan sembilan buah sekolah sebagai tempat pengundian yang melibatkan 32 saluran mengundi.
Katanya, penamaan calon akan diadakan di Majlis Daerah Labis manakala Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis akan dijadikan pusat penjumlahan undi.
Sementara itu, Abdul Aziz turut mengambil kesempatan mengingatkan majikan supaya memberi kebenaran kepada pekerja mereka bagi keluar mengundi.
"Mungkin ada daripada pihak swasta yang bekerja pada hari pilihan raya. Oleh itu, majikan mesti memberikan kebenaran kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi. Jika tidak mereka boleh dihukum melalui akta pilihan raya.
"Saya juga akan menulis surat kepada ketua setiausaha sumber manusia supaya jangan menghalang pengundi keluar mengundi," katanya lagi.