Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menzahirkan rasa terkilan dengan dakwaan bahawa konsep 1Malaysia diciplak dari negara lain.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai "pendustaan besar", Najib sebaliknya
menegaskan konsep yang diperkenalkan sejak beliau mengambilalih pentadbiran negara itu merupakan ciptaannya sendiri.
"Konsep 1Malaysia tidak diciplak dari negara lain...ini ciptaan saya sendiri. Negara lain boleh ada satu itu, satu ini...tetapi tidak ada di dunia ada "1Malaysia: Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan"," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di ibunegara hari ini.
Dalam nada tegas, Najib berkata, kerajaan melangkah ke hadapan berasaskan kepada realiti dan bukannya sesuatu yang menjadi satu igauan atau yang direka.
"Amat mudah untuk kita buat sesuatu sebagai 'politik janji' tetapi apakah perkara itu yang berdasarkan pendekatan yang amat populis akhirnya akan menguntungkan kita atau sebaliknya?," soal beliau sinis.
Najib berkata untuk membangunkan negara dan sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, harus mendokong dan melaksanakan dasar-dasar yang juga penuh tanggungjawab.
"Kerajaan bertanggungjawab memerlukan dasar-dasar yang bertanggungjawab...bukannya sesuatu yang kita lemparkan sebagai janji tetapi tidak berasas kepada realiti sebenar," katanya.
Najib sebelum ini dibidas beberapa pihak, khususnya Ketua
Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya kerajaan, melalui firma perhubungan antarabangsa, Apco Worldwide menciplak konsep 1Malaysia, berdasarkan konsep One Israel yang dicipta syarikat itu untuk Israel pada 1999.
Dakwaan itu menyebabkan Anwar digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan setelah Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati dakwaan itu tidak benar.
Selain Anwar, tiga lagi anggota Parlimen pembangkang, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R.Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak) turut menerima nasib sama setelah didapati menghina dewan atas isu yang sama.
Dalam pada itu, menyentuh isu bonus kepada penjawat awam, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan akan diberikan sebaik mungkin sekiranya kedudukan kewangan kerajaan adalah kukuh.
Bonus jika kewangan kukuh
Dalam pada itu, menyentuh isu bonus kepada penjawat awam, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, pertimbangan akan diberikan sebaik mungkin sekiranya kedudukan kewangan kerajaan adalah kukuh.
Dengan nada berseloroh, beliau berkata, kerajaan faham apa yang dimahukan oleh Ceupacs, tetapi katanya kerajaan harus bersikap realistik dalam perbelanjaannya.
"Kita akan buat yang terbaik (untuk rakyat) tetapi terbaik itu dalam konteks yang termampu...saya paling suka kalau boleh bagi bonus kerana saya dapat lihat 1.3 juta penjawat awam seronok, muka ceria, senyum...tetapi kita harus bersikap realistik...kita tidak boleh belanja lebih daripada pendapatan," katanya.
Tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak mahu terpaksa meminjam daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) semata-mata untuk membayar gaji penjawat awam.
"Kalau kita buat itu, tunggu masa kita akan menjadi negara yang ditadbir oleh IMF. Kalau IMF sudah mentadbir tidak ada gunanya kemerdekaan yang telah diperjuangkan, tidak ada maknanya kalau kemerdekaan dan kedaulatan kita dikuasai oleh badan antarabangsa seperti IMF," kata beliau.
Dalam ucapannya di hadapan kira-kira 1,171 perwakilan yang hadir, Najib turut mengingatkan penjawat awam, khususnya mereka yang bertugas di barisan hadapan supaya memahami Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang diperkenalkan.
Katanya ia penting kerana layanan penjawat awam yang bertugas di barisan hadapan itu merupakan cermin kepada imej kerajaan.
"Yang bertugas di barusan hadapan ini mesti tahu bahawa layanan yang diberikan itu adalah cerminan imej kerajaan. Kalau kita buat program transformasi tetapi di peringkat barisan hadapan ini tidak berlaku perubahan kerangka minda, maka akan berlakulah rasa kecewa.
"Mereka (rakyat) akan rasa kecewa dengan kerajaan kerana apa yang dilaungkan peringkat tertinggi sebagai dasar untuk dilaksanakan tidak sampai ke peringkat barisan hadapan dalam kerajaan," katanya yang turut menggesa Ceupacs memainkan peranan memastikan berlakunya perubahan di peringkat berkenaan.
Selain itu katanya, penjawat awam juga harus melakukan perubahan minda untuk menerima secara terbuka dan mempermudahkan kemasukan warga asing untuk berkhidmat dalam kerajaan.
Katanya, penjawat awam tidak harus memendam rasa curiga kepada warga asing itu kerana apa yang lebih penting adalah untuk mendapatkan kepakaran warga asing tersebut untuk memastikan negara dapat terus bersaing dengan negara-negara luar.
Geran tahunan Cuepacs RM2j
Najib juga mengumumkan geran tahunan kerajaan kepada Cuepacs akan dinaikkan kepada RM2 juta setahun bermula tahun depan.
Beliau turut mengumumkan pemberian RM1 juta untuk kongres berkenaan membaik pulih ibu pejabatnya yang dikatakan sudah 'terlalu uzur'.
Pengumuman Najib itu adalah sebagai membalas ucapan presiden Cuepacs Omar Osman yang 'menyelit' permintaan kepada kerajaan supaya menimbangkan peruntukan bagi membaiki pejabat kongres berkenaan.
Hanya tahun lepas, kerajaan menaikkan geran tahunan kepada Cuepacs daripada RM350,000 kepada RM1 juta.
Di majlis yang sama, Najib turut menyaksikan acara menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) pembentukan Konsortium Pengendali Takaful Cuepacs antara Dar Al Istithmar Sdn Bhd dan lima syarikat pengendali takaful, terdiri Takaful Malaysia, Takaful Ikhlas, Etiqa Takaful, HLTM Takaful dan MAA Takaful.
- Bernama