Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Pendedahan Wikileaks tutup tirai 2010
Diterbitkan:  Dec 21, 2010 11:48 AM
Dikemaskini: 5:49 AM

Laporan portal WikiLeaks, yang menjadi tajuk berita utama sehingga menarik perhatian dunia, menutup tirai 2010 persada hal ehwal antarabangsa dan hubungan diplomatik sejagat, tidak terkecuali Malaysia.

Bertahun-tahun, hubungan dua hala Malaysia dengan negara jiran terdekatnya Singapura dan Indonesia, yang pasang surut, mewarnai dunia diplomatik negara menyebabkan barisan diplomat sentiasa tidak menang tangan.

Namun penghujung tahun 2010 berakhir dengan situasi berbeza berikutan pendedahan  WikiLeaks, sebuah laman web yang memberi maklumat dalam pelbagai perkara termasuk yang diklasifikasikan sulit dan rahsia besar sesebuah negara atau organisasi.

Satu kenyataan memudaratkan oleh pemimpin dan pegawai kanan Singapura yang didedahkan WikiLeaks mengejutkan para pemimpin Malaysia dan Singapura.

Kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang dicatatkan pada 2008 dan 2009, menunjukkan kenyataan yang mengutuk Malaysia, Thailand, Jepun dan India oleh para pegawai kanan Singapura dalam pertemuan dengan para pegawai kanan Amerika Syarikat.

Pada 14 Disember, Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman memanggil Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia T Jasudasen bagi menjelaskan ketidakpuasan hati negara terhadap perdedahan itu dan mengemukakan nota bantahan kepada Singapura berhubung perkara itu.

Selain hubungan Kuala Lumpur-Jakarta, antara hubungan antarabangsa Malaysia yang menjadi tumpuan utama tahun ini adalah pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama dan juga lawatan Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh ke Malaysia.

Tahun 2010 bermula dengan baik bagi hubungan Kuala Lumpur-Jakarta.

Perundingan tahunan kedua-dua negara diadakan di Putrajaya pada Mei, yang menyaksikan Presiden Indonesia bermesyuarat dengan Najib membuka lembaran baru dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.

Kedua-dua pemimpin berbincang tentang banyak isu tertangguh, termasuk pembekuan pembantu rumah asing Indonesia ke Malaysia serta hala tuju politik dalam hal persempadanan maritim.

Namun pada 26 Ogos, hubungan aman kedua-dua negara dikejutkan dengan tindakan satu kumpulan yang menggelarkan diri mereka 'Benteng Demokrasi Rakyat' (Bendera) melemparkan najis manusia ke pekarangan Kedutaan Malaysia di Indonesia dan membakar Jalur Gemilang, bendera Malaysia.

Ia sebagai bantahan insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia berhampiran Bintan, Kepulauan Riau, pada 13 Ogos apabila bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan lima nelayan Malaysia dan Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian negara itu, kerana didakwa menceroboh wilayah masing-masing. Kesemua tahanan dibebaskan pada 17 Ogos oleh pihak berkuasa kedua-dua negara.

Terdapat juga desakan di Indonesia yang mahukan kerajaan republik itu memutuskan hubungan diplomatik dengan Malaysia, manakala di Malaysia, Najib mengutuk insiden yang disifatkannya dilakukan oleh kumpulan-kumpulan upahan.

Pada Aidilfitri, Najib menghubungi Susilo dan mengucapkan salam Lebaran dan kedua-dua bersetuju untuk mengkaji semula mekanisme sedia ada bagi memperkukuhkan hubungan dua hala, sementara Malaysia menegaskan untuk terus berusaha mengekalkan hubungan erat dengan republik itu.

Selain laporan WikiLeaks, tahun 2010 secara keseluruhannya menyaksikan perkembangan positif hubungan Kuala Lumpur-Singapura.

Dalam satu retreat di republik kepulauan itu pada Mei bersama rakan sejawatannya Lee Hsien Loong, Najib berkata Malaysia bersetuju untuk memindahkan stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Tanjong Pagar ke Terminal Pemeriksaan Kereta Api Woodlands (WTCP) menjelang 1 Julai, 2011.

Pada 22 Jun, Lee melakukan lawatan sehari ke Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju bahawa keputusan muktamad mengenai pertukaran tanah melibatkan kedua-dua negara dibuat dalam tempoh tiga bulan dan bersetuju mengurangkan kadar tol masing-masing di Link Kedua sebanyak 30 peratus, berkuatkuasa 1 Ogos.   

Semasa Najib melawat republik itu pada September, Malaysia dan Singapura bersetuju membawa isu tertangguh berhubung bayaran bagi pembangunan tanah KTMB di Singapura, yang akan dimajukan secara bersama oleh kedua-dua negara, ke Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa.

Hubungan dengan satu lagi jiran terdekat, Brunei terus menunjukkan peningkatan.

Pada Disember, Najib dan Sultan Hassanal Bolkiah menyaksikan majlis memeterai Perjanjian Perkongsian Pengeluaran bagi Blok CA2 antara PetroleumBRUNEI dan PETRONAS Carigali.

Hubungan Malaysia dengan negara-negara anggota Asean yang lain terus utuh.

Najib melakukan lawatan pertama ke Kemboja selepas mengambil alih jawatan pada 2009. Pada awal Disember, beliau membuka kompleks baru kedutaan Malaysia di sana, menggambarkan komitmen Malaysia memperkukuhkan hubungan dengan Kemboja.

Pada awal Jun, Najib melakukan lawatan rasmi dua hari ke Laos, julung kali sebagai Perdana Menteri, untuk membuka laluan bagi hubungan lebih erat antara kedua-dua negara Asean ini.

Di peringkat lebih tinggi, hubungan antara Kuala Lumpur-Washington turut menyaksikan banyak perkembangan positif. Pada April, Najib menemui Obama sebelum Sidang Kemuncak Jaminan Keselamatan Nuklear di Washington, memberikan isyarat jelas akan lembaran baru dalam hubungan antara Malaysia dengan satu kuasa besar utama dunia.

Perbincangan dua hala antara kedua-dua pemimpin berlangsung dalam suasana sangat mesra dengan kedua-dua berbincang selama 40 minit. Pada sidang kemuncak itu, Najib mencadangkan pengwujudan satu konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai jaminan keselamatan nuklear.

Dan pada mesyuarat kedua Asean-Amerika Syarikat yang berlangsung di New York pada September yang dipengerusikan Obama, Najib mencadangkan Program Sukarelawan Amerika Syarikat tajaan negara itu diwujudkan bagi membantu meningkatkan penguasaaan bahasa Inggeris di kalangan masyarakat Asean, dan Obama sekaligus tertarik dengan cadangan Perdana Menteri Malaysia.

Semasa berucap buat pertama kali di Perhimpunan Agung PBB, Najib menggesa pemimpin-pemimpin dunia supaya mengorak langkah ke arah membina "Pergerakan

Global Kumpulan Sederhana" daripada semua agama, untuk bekerjasama bagi memerangi dan menyisih kumpulan ekstrem, yang menurutnya mengancam dunia dengan ketaksuban mereka dan pendapat yang berat sebelah.

Pada November, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Hillary Clinton semasa lawatannya ke Malaysia, berkata negaranya bersetuju dan menyokong saranan Malaysia supaya kesederhanaan dalam agama diutamakan.

Malaysia juga memainkan peranannya untuk membangunkan semula Afghanistan, suatu tindakan yang diterima baik Amerika Syarikat. Pada Julai dan Oktober, anggota kontinjen Angkatan Tentera Malaysia dikerahkan ke negara yang dilanda peperangan untuk berkhidmat dengan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa Kumpulan Induk Kontinjen Malaysia (Malcon-ISAF).

Pada Oktober, Perdana Menteri India Dr Manmohan Singh melakukan lawatan tiga hari ke Malaysia sebagai membalas kunjungan Najib ke negara itu pada Januari.

Semasa lawatan itu, satu memorandum memuktamadkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif ditandatangani, dan satu sejarah tercatat pada 27 Oktober apabila kedua-dua pemimpin bersama-sama melancarkan 'Little India', satu kawasan masyarakat India di Brickfields.

Lawatan tiga hari Najib ke India menghangatkan hubungan kedua-dua negara. Ini termasuk lawatan bersejarah ke Chennai, menjadikan beliau Perdana Menteri Malaysia pertama melakukan lawatan ke ibu negeri Tamil Nadu di India, di mana kebanyakan kaum India Malaysia berasal.

Pada akhir Oktober, Perdana Menteri wanita pertama Australia Julia Gillard melawat Malaysia, negara pertama dilawati di rantau ini selepas menjadi Perdana Menteri pada Jun lepas, dengan kedua-dua negara menyatakan komitmen untuk bekerjasama dalam isu-isu penyeludupan orang, pemerdagangan orang dan jenayah rentas sempadan yang berkaitan.

Turut menjadi tumpuan adalah lawatan Presiden Palestin Mahmoud Abbas. Semasa lawatannya, Najib berikrar akan komitmen Malaysia menyediakan apa jua bantuan yang boleh diberikan, terutama dalam pembinaan keupayaan, latihan serta sokongan politik yang kuat kepada rakyat Palestin.

Pemimpin asing yang melawat Malaysia pada 2010 adalah Presiden Dr Heinz Fischer dari Austria, Presiden Laos Choummaly Sayasone, Putera Mahkota Haakon Magnus dan Puteri Mahkota Mette-Marit dari Norway, Perdana Menteri Qatar Sheikh Hamad Jassim Jabr Al Thani dan Perdana Menteri Finland Matti Vanhanen.

Dalam konteks hubungan serantau, pada April semasa menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-16 di Hanoi, Najib menggesa negara anggota Asean untuk menterjemahkan semua resolusi yang diluluskan perkumpulan itu bagi merealisasikan pembentukan Komuniti Asean menjelang 2015.

Kehadiran Malaysia di persada antarabangsa tidak terhenti dengan barisan diplomat.

Pada 31 Mei, komando Israel menyerang kapal bantuan ke Gaza, "Mavi Marmara" dan menahan 12 sukarelawan Malaysia yang berada di atas kapal itu. Mereka kemudiannya dibebaskan dengan selamat.

Berikutan peristiwa itu, pada 7 Jun, Najib membentangkan usul 15 perkara di Dewan Rakyat mendesak masyarakat antarabangsa untuk mengemukakan satu resolusi kepada Perhimpunan Agung PBB bagi merujuk kekejaman Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).  

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS