Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Maslan: Bahagi tanah pada anak peneroka gimik politik
Diterbitkan:  Dec 20, 2010 6:42 PM
Dikemaskini: 10:47 AM

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan menyifatkan cadangan Pakatan Rakyat untuk membahagikan semua tanah rancangan Felda kepada anak peneroka hanya sekadar gimik politik murahan untuk meraih sokongan rakyat.

    

Katanya, cadangan tersebut merupakan cadangan cacamarba yang dibuat tergesa-gesa dan hanya sekadar polemik bagi memastikan tujuan mereka untuk menakluki Putrajaya tercapai.

    

"Jika dikira, pembahagian tanah Felda sebanyak 330,000 hektar kepada lebih kurang 1.6 juta anak peneroka, setiap seorang hanya mendapat seekar sahaja. Apa sangat yang boleh dilakukan dengan tanah seekar?

    

"Adalah lebih bijak jika segala hasil terbit dari tanah seluas 330,000 hektar itu kita pulangkan kepada peneroka dan generasinya dalam bentuk yang lebih menguntungkan seperti program kemahiran, pembangunan prasarana dan sebagainya," katanya kepada pemberita ketika menghadiri majlis Felda bersama Media di Dewan Perdana Felda di ibunegara hari ini.

    

Beliau mengulas satu daripada resolusi pembangkang yang menjanjikan pembahagian tanah Felda kepada generasi anak dan cucu peneroka pada konvensyen pakatan pembangkang di Pulau Pinang semalam.

    

Ahmad juga berkata adalah lebih pintar jika Felda dibangunkan dalam bentuk konglomerat yang kukuh kerana hasilnya dapat dinikmati golongan peneroka dalam bentuk lebih berfaedah berbanding pembahagian tanah seperti dicadangkan pembangkang.

    

Mengulas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, beliau berkata tiga penempatan Felda di kawasan itu akan diberi perhatian bagi memastikan pengundi tidak terpedaya dengan dakyah pembangkang.

    

"Kita sedia maklum pembangkang akan cuba memanipulasikan isu-isu berkaitan Felda untuk mengelirukan pengundi di kawasan Felda Cempelak, Felda Cempelak Barat and Felda Tenang.

    

"Saya akan turun padang ke kawasan-kawasan tersebut untuk meninjau dan merangka strategi untuk mempertahankan kubu di Felda ini, kerana tiga kawasan Felda ini mempunyai 4,000 pengundi daripada 14,511 yang berdaftar," katanya.

    

Kerusi DUN Tenang kosong berikutan kematian Anggota DUN Tenang Datuk Sulaiman Taha, 59, akibat jangkitan kuman dalam darah dan penyakit kencing manis di Hospital Pakar Ampang Puteri, Kuala Lumpur Jumaat lepas.

    

Allahyarham Sulaiman mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya umum ke-12 apabila menewaskan calon PAS Mohd Saim Siran dengan majoriti 2,492 undi.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS