Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Anwar didakwa gagal kemuka bukti isu APCO
Diterbitkan:  Dec 20, 2010 5:08 PM
Dikemaskini: 9:12 AM

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang digantung daripada persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan telah diberi peluang untuk membela diri dan mengemukakan bukti mengenai kenyataannya  mengaitkan konsep 1Malaysia dan firma perunding antarabangsa APCO Worldwide dengan kempen One Israel.

Anggota Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen Datuk Razali Ibrahim berkata, Anwar telah diberikan tempoh dua hari semasa sesi persidangan Dewan Rakyat minggu lepas untuk membela diri tetapi tidak mengambil peluang itu dan bertindak seolah-olah mahu melengah-lengah keputusan mengenai kes itu.

"Kami (Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen) telah beri ruang yang luas kepada beliau (Anwar) tapi dia tidak mengambil peluang itu.

"Dia cakap dia ada bukti dokumen mengenai dakwaannya, dan kami minta dia buktikan, tapi dia tidak pernah kemukakan bukti," katanya kepada pemberita di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Pada 16 Disember lalu Anwar, yang juga Anggota Parlimen Permatang Pauh, digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan kerana memberi keterangan tidak benar kepada Dewan kerana mengaitkan konsep 1Malaysia dengan One Israel.

Keputusan untuk menggantung Anwar seperti yang disyorkan oleh Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen itu, diluluskan oleh Dewan Rakyat tanpa sebarang perbahasan, dan ini telah mnecetuskan kekecohan dalam Dean apabila kesemua anggota Parlimen pembangkang bertindak keluar.

Razali berkata Anwar sepatutnya mengambil peluang itu dengan mengemukakan bukti untuk menyokong dakwaannya itu kerana beliau memang mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Katanya APCO Worldwide telah menghantar sepucuk surat kepada jawatankuasa itu bagi menafikan penglibatan syarikat itu dalam membantu kerajaan Malaysia membuat dasar, sebaliknya ia bertindak  membantu meningkatkan perkhidmatan berkaitan komunikasi.

Selain Razali, jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin mulia, turut dianggotai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong) dan Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah) yang dipertanggungjawab untuk membincangkan isu dakwaan Anwar itu.

--Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS