Saya ingin mengulas isu ini bagi memenuhi amanah ilmiah dan ketelusan dalam menjelaskan fakta sebenar yang saya ketahui. Ia bukan bertujuan subjudis, tetapi lebih kepada penjelasan fakta ilmiah dan keadaan yang berlaku yang saya turut hadir.
Saya hadir Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-92 di Melaka baru-baru ini. Apa yang saya ketahui bukan semua ahli bersetuju untuk menyatakan secara tuntas agar non-Muslim dihalang daripada menjadi peguam syarie.
Jelasnya, dakwaan bahawa Muzakarah Fatwa Kebangsaan mencapai keputusan sebulat suara dalam hal ini adalah tidak berlaku sama sekali.
Yang berlaku adalah sebahagian ahli muzakarah, termasuk saya, mahukan agar perkara ini diperhalusi dengan lebih mendalam menurut nas al-Quran dan al-Sunnah. Ia adalah keputusan premature (pramatang).
Saya juga mahukan agar kertas ini dihalusi di peringkat fatwa negeri-negeri. Kertas yang disediakan oleh Panel Kajian Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) didapati tidak mantap dan tidak mempunyai asas yang kukuh daripada al-Quran dan al-Sunnah.
Dalil yang digunakan adalah tidak tepat pada isunya.
Kertas Panel JAKIM itu hanya menumpukan tentang nas ayat-ayat walayah (kepimpinan) yang melarang Muslim menjadikan non-Muslim sebagai wali atau pembantu dan penolong dalam urusan mereka, sedangkan saya dan beberapa ahli lain berpandangan, hal ini berkaitan soal wakalah (perwakilan), bukannya urusan walayah (kepimpinan).
Isu perwakilan, bukan kepimpinan
Kalaulah ayat walayah (kepimpinan) digunakan dalam hal ini, maka akan berlaku kacau-bilau urusan kenegaraan di Malaysia. Pemikiran ala-Taliban dan ekstrim seperti ini tidak wajar wujud di Malaysia.
Akan timbul kelak persoalan, apakah sah lantikan para menteri bukan Islam bagi membantu menguruskan orang Islam, apakah sah para ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah jabatan dan agensi kerajaan dilantik dari kalangan non-Muslim?
Sudah tentu kekecohan akan berlaku. Dan kekecohan ini akan bermula dengan perkara kecil seperti soal wakalah non-Muslim untuk menjadi peguam bagi urusan orang Islam.
Bahkan menurut pandangan Mazhab al-Syafie sendiri yang menjadi mazhab rasmi Malaysia, menerusi pandangan ulama dan kitab yang sentiasa menjadi rujukan ulama di Malaysia, al-Imam al-Sharbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj menyatakan bahawa seorang lelaki Muslim boleh mewakilkan seorang kafir dalam urusan menceraikan isterinya yang Muslimah.
Hal yang sama turut disebut oleh para ulama lain seperti al-Dasuqi dari kalangan mazhab Maliki dan Ibnu Qudamah dari kalangan ulama mazhab Hanbali.
Ulama mazhab Hanafi lebih terbuka dalam hal ini. Inilah pandangan sebenar jumhur (majoriti) ulama dalam hal ini. Hanya mazhab Syiah yang tidak membenarkan.
Urusan wakalah guaman adalah termasuk urusan keduniaan sesama manusia. Sikap Islam dalam urusan sesama manusia adalah amat terbuka dan toleransi, kerana ia bukan soal akidah dan ibadah.
Undang-undang Mesir
Oleh itu, Ibnu Qudamah dalam al-Mughni menyatakan bahawa ‘ ammah Ahli al-‘Ilm (keseluruhan ulama) menyatakan boleh dan sah orang kafir menjadi wakil orang Islam dalam urusan sesama manusia kecuali dalam beberapa masalah wasiat dan wakaf. Hal seperti ini yang sepatutnya diperincikan.
Undang-undang mahkamah di Mesir memberikan kebenaran kepada non-Muslim menjadi wakil mereka dalam urusan guaman di mahkamah.
Pasti juga para ulama al-Azhar di sana melihat nas dan pandangan ulama yang dinyatakan tadi demi kerukunan dalam hidup bernegara di antara Muslim dan non-Muslim.
Malaysia pernah digemparkan suatu ketika dahulu masalah perebutan jenazah yang dipertikaikan status keislamannya di Mahkamah Syariah dan mahkamah sivil.
Muncul suara pada ketika itu membenarkan non-Muslim memfailkan di Mahkamah Syariah tuntutan mereka yang ingin mendapatkan jenazah saudara mereka yang didakwa sebagai masih kekal dalam agama asal mereka.
Kita menarik nafas lega dengan wujud sedikit keterbukaan mahu membenarkan non-Muslim menuntut keadilan bagi diri mereka di Mahkamah Syariah pada waktu itu. Keterbukaan seperti ini wajar dikembangkan.
Syariat Islam menawarkan keadilan kepada semua pihak. Inilah keindahan dakwah Islam yang menjanjikan rahmat untuk semua manusia dan ia bukan untuk dibolot oleh satu golongan sahaja.
Sangkaan timbul hasil prejudis
Bukankah Nabi Muhammad SAW pernah bermuamalah (berurusniaga) dengan menggadaikan baju besinya kepada seorang Yahudi? Bukankah Ali bin Abu Talib RA pernah bertelingkah di mahkamah kerana urusan baju besinya dengan seorang Yahudi?
Yahudi itu dibenarkan untuk membela dirinya di Mahkamah Islam pada waktu itu sehingga Ali bin Abu Talib RA kalah kepada Yahudi itu dalam soal tuntutan mereka.
Bukankah ini suatu bentuk guaman dan pembelaan diri bagi mendapatkan keadilan di mahkamah Islam yang memberikan hak kepada semua golongan?
Jelasnya, tidak ada nas yang sarih (jelas) lagi sahih melarang non-Muslim menjadi peguam syarie bagi mengendalikan urusan orang Islam dan bukan Islam di mahkamah Islam. Segala sangkaan dan anggapan akan berlaku kemudaratan adalah timbul hasil sikap prejudis dan mahu menindas golongan bukan Islam.
Anggapan boleh berlaku penghinaan kepada mahkamah dan non-Muslim tidak boleh dibicarakan adalah soal teknikal yang boleh diatasi dengan pindaan perundangan, atau diletakkan syarat dalam lesen guaman, atau penghakiman penghinaan itu dialihkan ke mahkamah lain yang boleh mengendalikannya.
Kalaulah sistem yang ada didapati boleh menafikan keadilan itu, maka rujuklah kepada Islam yang sebenar yang menawarkan keadilan untuk semua.
Islam tidak silap! Yang silap adalah penafsiran manusia yang tidak mahu faham dan tidak mahu berkongsi rahmat keadilan Allah SWT untuk semua manusia.
Dr Juanda Jaya ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis. Beliau juga merupakan felo pelawat di Pusat Pengajian Islam di Universiti Oxford, United Kingdom.