Malaysia sentiasa terbuka dalam hubungan diplomatik dan mengiktiraf fahaman Syiah yang diamalkan oleh negara-negara Arab seperti Iran, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan tetap mengharamkan fahaman Syiah diamalkan di negara ini ekoran terdapat beberapa faktor yang boleh mengelirukan orang Islam dan bertentangan dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan oleh rakyat Islam di Malaysia.
"Jika ada dua mazhab di negara ini mungkin akan berlaku pertumpahan darah kerana masyarakat Islam berbeza pendapat seperti yang berlaku terhadap masyarakat Islam Pakistan dan Iraq.
"Kita tidak menyekat masyarakat di negara ini mengamalkan amalan Syiah tetapi kerajaan tidak membenarkan penyebaran ajaran Syiah ini dibuat ekoran terdapat beberapa dakyah songsang yang boleh menggugat keharmoniah umat Islam di negara ini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan pakaian sekolah di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di Kedah hari ini.
Seramai 450 pelajar dalam kawasan Parlimen Jerai dipilih menerima sumbangan Umno Bahagian Jerai.
Khamis lalu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menahan 200 pengikut ajaran Syiah dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Taman Sri Gombak, Batu Caves apabila dikatakan terpesong dan berbahaya kerana menganggap penganut Islam mazhab lain sebagai kafir dan halal untuk dibunuh.
"Kalau amalan lain tak menjadi satu kesalahan tetapi nak menyebarkan pegangan seperti ini dan menyimpang jauh hingga mengatakan semua mazhab lain tidak betul dan kafir adalah tidak betul dan melanggar undang-undang," kata Jamil Khir.
Katanya demi keharmonian masyarakat Islam di negara ini, kerajaan dan Jabatan Agama Islam negeri sentiasa melakukan pemantauan dan mengambil tindakan bagi mengekang kegiatan tersebut berleluasa.
"Kalau kita tunggu sampai dia jadi akar dan jadi lebih kuat sudah tidak berguna lagi kerana sukar untuk menghapuskannya," kata beliau.
- Bernama