Jentera pilihan raya DAP akan melakukan persediaan bagi menghadapi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang dan memastikan kemenangan berpihak kepada Pakatan Rakyat.
Pengerusi Biro Pilihan Raya Kebangsaan DAP Tan Kok Wai ( berbaju putih ) berkata mereka akan mengadakan mesyuarat pertama dengan jawatankuasa negeri DAP Johor pada Khamis
depan.
"Majlis kepimpinan pakatan belum bermesyuarat bagi membincangkan isu calon yang akan mewakilinya pada pilihan raya kecil Tenang, namun seperti biasa, semua parti dalam pakatan akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan di Tenang," katanya dalam satu kenyataan.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian ADUN Tenang iaitu Datuk Sulaiman Taha semalam.
Sulaiman, 59, yang juga pengerusi Bahagian Umno Labis, meninggal dunia pada 1.10 pagi di Hospital Ampang Puteri di Kuala Lumpur berikutan komplikasi akibat penyakit diabetes.
Perkembanganterbaru itu bakal menyaksikan satu lagi pilihan raya kecil dijangka akan diadakan dalam tempoh 60 hari. Ini adalah pilihan raya kecil yang ke-14 sejak pilihan raya umum 2008.
Pilihan raya kecil dijangka Januari
Dijangkakan, pilihan raya kecil berkenaan akan diadakan pada bulan Januari sebelum sambutan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 3 Februari.
Pakatan Rakyat memenangi lapan daripada 13 pilihan raya kecil yang diadakan sebelum ini. Ini merupakan kali pertama pilihan raya kecil diadakan di Johor yang dilihat sebagai kubu kuat BN selepas pilihan raya umum 2008.
BN menguasai sebanyak 50 kerusi DUN Johor manakala di DAP dan PAS masing-masing menguasai empat dan dua kerusi.
Kawasan DUN Tenang merupakah salah satu kubu kuat Umno di negeri itu.
Dalam pilihan raya umum 2008, Sulaiman mengalahkan lawannya, Mohd Saim Siran dari PAS dengan kelebihan 2,492 undi.
Daftar pemilih 2008 menunjukkan DUN Tenang mempunyai seramai hampir 50 peratus pengundi Melayu , lebih 38 peratus pengundi Cina dan lebih 12 peratus pengundi India.