Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Karpal Singh, Sivarasa, Azmin Ali juga digantung
Diterbitkan:  Dec 16, 2010 1:12 PM
Dikemaskini: 7:14 AM

Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul penggantungan selama enam bulan ke atas Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR- Gombak)

Sewaktu usul yang dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu dibahaskan, semua ahli parlimen bertindak memulaukannya dengan dengan keluar dewan.

NONE Sebelum itu, usul penggantungan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diundi tanpa dibahaskan. Tindakan itu menimbulkan rasa tidak senang di kalangan ahli parlimen Pakatan Rakyat.

"Kita akan teruskan dan membuang undi, tanpa membahaskan usul ini," kata Pandikar disambut laungan setuju dari ahli parlimen BN.

Semua semua ahli parlimen pembangkang kemudiannya keluar dewan.

Usul untuk menggantung Karpal, Sivarasa dan Azmin kemudiannya dibahaskan beberapa anggota parlimen BN dan wakil Bebas tanpa sebarang gangguan.

NONE Antara yang mengambil bahagian ialah Datuk Abdul Rahman Dahlan (BN-Kota Belud), Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) dan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju), selain pencelahan oleh Khairy Jamaluddin (BN-Rembau), Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu), Datuk Mohamad Aziz (BN-Sri Gading), Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) dan Datuk Dr Mohamad Shahrum Osman (BN-Lipis) dan Zulkifli Nordin (Bebas-Kulim Bandar Baru).

Mereka kemudiannya berbahas sesama-sendiri, menghamburkan kecaman terhadap Pakatan Rakyat dan melontar retorik untuk disambut satu sama-lain.

Abdul Rahman ketika membahaskan usul itu menafikan Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, sebaliknya Ketua Pembangkang itu tidak menggunakan peluang yang diberi.

Mencelah perbahasan Abdul Rahman, Shamsul Anuar berkata, apa yang dilakukan ialah budaya jalanan yang dibawa oleh pembangkang ke dewan itu sebagai taktik untuk melengah-lengahkan keputusan mengenai kes Anwar itu.

Tidak memihak

Ibrahim pula mahu media memainkan peranan untuk memperjelaskan apa yang berlaku di Dewan Rakyat hari ini sebaik mungkin bagi membolehkan rakyat membuat penilaian terhadap Anwar dan Pakatan Rakyat.

"Saya tidak memihak kepada mana-mana tetapi rakyat harus pertimbangkan dengan cara yang betul. Ketua Pembangkang ini tidak ada pilihan untuk survival politik beliau, jadi dia gunakan cara ini.

"Jadi rakyat harus diberitahu adakah tuduhan 1Malaysia sama dengan Apco itu benar, adakah betul Anwar tidak diberi peluang untuk membela diri, dan apakah usul ini dikemukakan untuk menganiayai Anwar," katanya.

NONE Zulkifli pula membangkitkan pendedahan mengenai Anwar termasuk oleh Karpal sendiri yang mengakui tahu mengenai salah laku seks Ketua Pembangkang itu dan pernah meminta Anwar bertaubat dan berundur selaku Ketua Pembangkang.

"Selepas tak jadi 16 Sept, Bukit Gelugor (Karpal) minta Anwar bertaubat. Jadi dengan semua ini boleh tak kita kata DAP atau Karpal dengan pengetahuan (perlakuan liwat) telah mengugut Anwar untuk agenda sempit mereka," katanya ketika mencelah perbahasan Ibrahim.

Bersetuju dengan kenyataan itu, Ibrahim berkata, pembangkang sememangnya sedia maklum mengenai perlakuan Anwar tetapi berlagak seolah-olah tidak mengetahui perkara itu.

Bung Moktar pula berkata isu penggantungan anggota dewan merupakan perkara biasa malah turut berlaku di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk di Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Perak dan Kedah.

Mohamed Nazri yang sepatutnya menggulung perbahasan usul itu, melangkaui proses berkenaan dan meminta usul menggantung tiga anggota parlimen pembangkang itu diluluskan.

"Tidak perlulah hendak gulung, orang yang nak digulung pun tak ada, nak lipat pun tak boleh. Jadi saya ucapkan terima kasih dan kita teruskan lulus usul ini," katanya yang membacakan usul itu untuk kali ketiga sebelum diluluskan. 

ADS